Jerebu dan liabiliti korporat

A
A
A

MALAYSIA sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang liabiliti korporat terhadap mana-mana syarikat negara ini yang menyebabkan atau menyumbang kepada jerebu.

Buat masa ini, kerajaan masih berkira-kira untuk mengambil tindakan hanya terhadap syarikat Malaysia yang beroperasi di luar Malaysia dan gagal untuk mengambil tindakan yang sewajarnya sehingga menyumbang kepada masalah jerebu.

Disebabkan masalah jerebu yang berasal dari Indonesia ini berlaku setiap tahun dan semakin menjadi-jadi, ada pihak yang turut menggesa agar pihak kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap Indonesia ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dengan nilai sama simbolik RM1.

Namun, gesaan itu tidak semudah dan seboleh yang disangka. Malah, hampir mustahil untuk dilaksanakan. ICJ bukan seperti mahkamah di negara kita yang boleh kita gunakan untuk saman sesiapa yang kita kehendaki. ICJ biasanya hanya akan mendengar sesuatu kes yang dibawakan oleh sesebuah negara melalui dua cara iaitu: (i) jika ia melibatkan triti atau perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh kedua-dua negara terlibat dan perjanjian tersebut mempunyai peruntukan yang membenarkan kedua-dua negara untuk merujuk kepada ICJ, atau (ii) jika kedua-dua negara bersetuju untuk merujuk pertikaian atau masalah mereka ke ICJ. Untuk cara pertama, walaupun Malaysia dan Indonesia ada menandatangani perjanjian berkenaan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di peringkat ASEAN, ini masih tidak memberikan hak kepada Malaysia untuk membawa kes itu ke ICJ kerana perjanjian tersebut tidak mempunyai peruntukan jelas yang membenarkan mana-mana pihak untuk merujuk isu itu ke ICJ.

Malah, Perkara 27 perjanjian tersebut hanya membenarkan negara-negara terlibat untuk menyelesaikan sebarang pertikaian melalui konsultasi dan perbincangan antara mereka. Cara kedua pula, amat mustahil untuk Indonesia bersetuju agar isu itu dibawa ke ICJ.

Nasihat

Ada pula yang mencadangkan Malaysia mendapatkan pendapat nasihat daripada ICJ. Namun, alternatif untuk mendapatkan nasihat daripada ICJ bukan juga semudah disangka.

Pendapat nasihat daripada ICJ hanya boleh dimohon oleh atau melalui Perhimpunan Agung PBB, atau Majlis Keselamatan PBB, atau lain-lain organ PBB. Jika mahu, Malaysia perlu menggunakan pengaruhnya untuk melobi bagi mendapatkan pendapat nasihat ICJ melalui badan-badan ini. Namun, ia bukan kerja mudah dan hampir mustahil.

Malah, pendapat nasihat ICJ itu sendiri tidak mempunyai sebarang kesan perundangan kerana ia tidak mengikat mana-mana pihak untuk mengikutinya. Jadi, ia hanya akan mejadi satu kerja yang sia-sia.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan itu, pengenalan undang-undang baharu yang mengenakan liabiliti terhadap syarikat-syarikat Malaysia yang beroperasi di luar Malaysia merupakan satu langkah yang baik. Di Singapura, mereka mempunyai Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap syarikat yang menyumbang kepada masalah jerebu di Singapura.

Sebenarnya, akta dari Singapura itu bukan sahaja memberikan hak kepada kerajaan Singapura untuk mengambil tindakan, malah mana-mana individu di Singapura yang turut terkesan dengan masalah jerebu juga boleh mengambil tindakan.Pada tahun 2015, akta itu pernah digunakan untuk menyiasat sebuah syarikat Indonesia, Asia Pulp & Paper (APP) yang menyumbang kepada masalah jerebu di Singapura.

Biarpun APP tidak didakwa di bawah akta itu atas masalah-masalah tertentu, akta terbabit tetap mempunyai taringnya yang tersendiri kerana pengarah syarikat itu telah dikenakan waran tangkap kerana gagal memberikan kerjasama. Produk APP juga tidak dibenarkan dijual di Singapura sehingga akhir tahun lalu apabila APP akhirnya dibenarkan untuk kembali ke Singapura selepas lulus proses tapisan, audit dan persijilian oleh Majlis Alam Sekitar Singapura.

Malaysia boleh menjadikan undang-undang dari Singapura tersebut sebagai panduan dalam menggubal undang-undang baharu mengenai jerebu ini. Banyak perkara yang perlu diambil kira termasuk hukuman penjara terhadap pengarah syarikat yang terlibat dan pengharaman produk syarikat terlibat daripada dijual di Malaysia. Dalam menggubal akta ini, biarlah ia menjadi akta yang tajam taringnya dan bukannya sekadar tangkap muat sahaja.

* Haeme Hashim ialah pengamal undang-undang di Kuala Lumpur dan pemerhati senario politik negara