Tiada kenaikan cukai pintu: MPS

Zazali beramah mesra dengan pengamal media yang hadir pada Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra Media bersama MPS dekat Wisma Perbandaran Seremban hari ini.
Zazali beramah mesra dengan pengamal media yang hadir pada Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra Media bersama MPS dekat Wisma Perbandaran Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Tiada sebarang kenaikan cukai pintu sekiranya Seremban diisytiharkan sebagai banda raya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Zazali Salehudin berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh kerajaan negeri kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat.

Menurutnya, dijangka pada awal tahun hadapan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dan MPS akan bergabung menjadi satu entiti di bawah Majlis Bandaraya Seremban.

"Tiada kenaikan cukai pintu (apabila Seremban diisytihar bandaraya) setahu saya memang tidak ada sehinggalah satu tempoh yang akan dimaklumkan.

"Masyarakat jangan risau, tiada sebarang kenaikan. Apa yang penting kerja perlu dilaksanakan dan dijalankan dengan baik kerana bila sudah menjadi bandaraya lagi banyak cabaran kerja nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra Media bersama MPS dekat Wisma Perbandaran Seremban hari ini.

Hadir sama Pengerusi Kelab Media Negeri Sembilan, Arfi Ahmad.

Dalam pada itu, Zazali juga mengingatkan pengamal media agar membuat laporan seimbang dalam penulisan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setiap berita yang dihasilkan perlulah tepat dan mempunyai fakta yang sahih serta mampu memberi kebaikan kepada semua pihak.

"Laporlah berita yang sahih dan tepat, kalau kita ada salah kita sedia menerima teguran kerana itu akan memberi ruang untuk kita memperbaiki cara kerja agar menjadi lebih baik.

"Tetapi jangan hanya melaporkan perkara keburukan sahaja, kejayaan juga perlu dilaporkan agar ia nampak seimbang. Kejayaan ada, teguran juga ada," katanya.

Pada majlis tersebut kira-kira 20 pengamal media Negeri Sembilan meluangkan masa hampir dua jam beramah mesra dengan kakitangan serta Ahli Majlis MPS.