Lebih 4,400 aduan pembakaran terbuka diterima JAS

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 4,409 aduan pembakaran terbuka diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tempoh Januari sehingga 22 September.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,152 amaran telah dikeluarkan kepada pelaku dan 22 kes tindakan mahkamah telah diambil.

Beliau berkata, aduan tersebut melibatkan pembakaran sampah sarap, kebakaran belukar, hutan, tapak pelupusan sampah haram, kebun kecil dan tapak pembinaan.

"JAS telah menyiasat semua aduan yang dikemukakan oleh orang awam.

"Susulan siasatan tersebut sebanyak 1,152 amaran telah dikeluarkan, 86 tindakan tawaran kompaun dan juga 22 kes tindakan mahkamah telah diambil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas muncul dalam rakaman program Upsound terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan kepada orang awam supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka kerana akan memburukkan lagi keadaan jerebu yang sedang berlaku ketika ini.

Jika didapati bersalah melakukan pembakaran terbuka, mereka akan dikenakan hukuman mengikut Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai masalah kekeliruan orang awam untuk mendapatkan maklumat terkini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tepat, Norlin berkata, hanya laman sesawang JAS memenuhi protokol antarabangsa bagi pengukuran dan pengiraan IPU.

"Untuk makluman semua, indeks pencemaran udara yang diguna pakai oleh JAS memenuhi protokol antarabangsa bagi pengukuran dan pengiraan IPU iaitu berdasarkan kepada US Environmental Protection Agency yang diguna pakai oleh Singapura, Thailand dan Brunei," katanya. - Bernama