Suhakam mahu perlindungan terhadap pencari kerja

Suhakam meminta kerajaan untuk melindungi pencari kerja dan juga pekerja daripada diskriminasi di tempat kerja.
Suhakam meminta kerajaan untuk melindungi pencari kerja dan juga pekerja daripada diskriminasi di tempat kerja.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan untuk memasukkan perlindungan terhadap diskriminasi pencari kerja ke dalam pindaan Akta Kerja 1955.

Suhakam dalam satu kenyataan berkata, Kementerian Sumber Manusia secara umum mengemukakan cadangan untuk memasukkan pindaan bagi melindungi pencari kerja dan pekerja daripada didiskriminasi berasaskan jantina, agama, bangsa, ketakupayaan, status perkahwinan, kehamilan serta bahasa.

“Bagaimanapun baru-baru ini terdapat pendedahan bahawa frasa ‘pencari kerja’ serta Bahagian IA draf pindaan rang undang-undang (RUU) baharu yang mempunyai perlindungan terhadap pencari kerja akan dimansuhkan.

“Cadangan pemansuhan ini mengecewakan kami kerana tindakan ini akan membenarkan diskriminasi untuk terus berlaku.

“Kami percaya bahawa undang-undang sedia ada, boleh dan seharusnya dipinda bagi memberikan perlindungan terhadap pencari kerja selaras dengan larangan diskriminasi yang termaktub di dalam Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan tersebut.

Suhakam berkata, konvensyen mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) yang diratifikasi oleh Malaysia, menerangkan dengan jelas mengenai perlindungan terhadap diskriminasi untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang sama rata.

Justeru, Suhakam meminta kerajaan untuk melindungi pencari kerja dan juga pekerja daripada diskriminasi di tempat kerja.

“Kami juga menggesa kerajaan untuk memastikan senarai diskriminasi yang dilarang dikekalkan dalam undang-undang itu sendiri dan tidak meletakkannya di dalam peraturan,” katanya.

Artikel Berkaitan: