Sembilan keluarga layak terima rumah LZS

Sebahagian penduduk sebelum ini menetap di khemah terbuka selepas rumah mereka dirobohkan Rabu lepas.
Sebahagian penduduk sebelum ini menetap di khemah terbuka selepas rumah mereka dirobohkan Rabu lepas.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seramai sembilan keluarga yang terlibat dalam perobohan di atas tanah rizab milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras dikenal pasti layak mendapat bantuan rumah Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid berkata, semua keluarga terlibat dikenalpasti sebagai asnaf berdasarkan kepada syarat dan kelayakan mereka menerusi bancian dan siasatan dilakukan bermula 20 dan 21 September lalu.

Beliau berkata, keluarga terlibat juga akan dibantu di bawah kategori asnaf fakir dan miskin.

"Tiada bayaran yang dikenakan oleh LZS kepada pihak terlibat untuk menetap di rumah itu.

"Mereka juga boleh menetap di rumah LZS selagi mana masih berada di bawah kategori asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Rabu lepas, satu operasi perobohan telah dilaksanakan ke atas premis dan kediaman berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab milik JPS.

Perobohan itu dilaksanakan bagi memberi laluan kepada projek pelebaran sungai dalam usaha untuk mengatasi isu banjir di kawasan itu.

Bagaimanapun, operasi itu mendapat bantahan penduduk terlibat yang mendakwa kerajaan negeri memberikan notis yang singkat dan mereka turut memohon untuk menetap di tapak berkenaan sehingga akhir tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Rentetan itu, penduduk bersepakat untuk berteduh di khemah terbuka yang didirikan sendiri oleh mereka sejak hari perobohan itu kerana masih belum mendapatkan penempatan baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk mula kosongkan tapak penempatan sementara