X

Kindly register in order to view this article
!

Empat penyamun mati ditembak

Empat penjenayah ditembak mati di kawasan parkir kondominum di Cyber Jaya.
A
A

SEPANG - Polis menembak mati penjenayah bertopeng dikenali 'Geng Sree' di tingkat bawah parkir sebuah kondominium di Cyberjaya di sini pagi tadi.

Empat lelaki itu sebelum ini memecah masuk sebuah kediaman di Jalan 5/3, Taman Segar Perdana, Cheras sebelum melarikan sejumlah wang tunai, barang berharga dan sebuah kereta jenis Mercedes Benz kira-kira jam 7 pagi.

Sepasukan anggota dari Op Khas Samun Bertopeng kemudian berjaya mengesan kenderaan suspek di kondominium terbabit pada jam 9.30 pagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, ketika hendak melakukan pemeriksaan ke atas kereta Mercedes Benz tersebut, seorang lelaki secara tiba-tiba keluar dari dalam kereta jenis Volkswagen Passat yang diletakkan di sebelah kereta Mercedes.

"Lelaki bersenjata parang itu cuba menyerang polis dan pada masa sama beberapa lagi suspek lain turut melepaskan tembakan ke arah polis dari arah Mercedez Benz yang turut dinaiki suspek.

"Polis terpaksa menyelamatkan diri dengan membalas beberapa das tembakan ke arah suspek terbabit sebelum kesemua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang hari ini.

Pemeriksaan ke atas kenderaan yang disamun menemui barangan dipercayai hasil kegiatan kumpulan berkenaan termasuk mata wang pelbagai negara.
Pemeriksaan ke atas kenderaan yang disamun menemui barangan dipercayai hasil kegiatan kumpulan berkenaan termasuk mata wang pelbagai negara.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui barang yang disamun dari rumah di Taman Segar Perdana dalam kereta Mercedes berkenaan.

Katanya, turut ditemui dua pucuk pistol jenis revolver dan baretta, kolongsong, peluru, megazine, serta parang.

Tambahnya, semakan lanjut mendapati tiga suspek berusia 29 hingga 45 tahun memiliki pelbagai rekod lampau bersabit kes samun, pecah rumah, curi dan dadah, manakala seorang lagi suspek masih belum dikenal pasti identitinya.

"Polis percaya geng ini terlibat dalam 21 kes iaitu 16 di Selangor dan lima di Negeri Sembilan. Berdasarkan modus operandi geng ini, kita dapati mereka aktif pada awal pagi dan bergerak secara berkumpulan sebelum bertindak mengikat mangsa di kediaman sasaran mereka," katanya.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya masih terdapat baki geng terbabit atau pembabitan mereka dalam kumpulan kongsi gelap.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus