JAS pantau tiga lokasi gambut

Mohd Sani (berdiri dari kiri) memberi maklumat terkini berkenaan bacaan IPU tertinggi di negeri ini kepada Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin (duduk, tiga dari kiri) dan rakan-rakan media yang lain.
Mohd Sani (berdiri dari kiri) memberi maklumat terkini berkenaan bacaan IPU tertinggi di negeri ini kepada Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin (duduk, tiga dari kiri) dan rakan-rakan media yang lain.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang kini menumpukan pemantauan terhadap tiga kawasan tanah gambut seluas hampir tiga hektar di negeri ini dalam usaha mengekang kebakaran terbuka.

Pengarahnya, Mohd Sani Mat Daud berkata, tiga lokasi tanah gambut tersebut ialah di sekitar Pekan, Rompin dan Balok, Kuantan.

Menurutnya, JAS turut meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa.

"Pekan antara yang diberikan tumpuan kerana sekarang lokasi tersebut sedang berlaku kebakaran terbuka iaitu di kawasan belukar di Temai dan Ganchong.

"Bagaimanapun, kebakaran itu tidak mempengaruhi bacaan IPU di daerah tersebut.

"Pemantauan kualiti udara di lima stesen pengawasan udara di negeri ini mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu melebihi 100. Sehingga jam 8 pagi tadi, Indera Mahkota menunjukkan IPU tertinggi iaitu 159, diikuti Balok Baru 155, Rompin 144, Temerloh 137 dan Jerantut 114," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media Pahang di Villa Kuchinta Cerok Paloh di sini hari ini.

Mohd Sani berkata, kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu rentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dan Barat Sarawak.

Artikel Berkaitan:

"Bacaan jerebu di sekitar negeri ini menunjukkan trend penurunan, namun kita tetap mahu ingatkan orang ramai agar tidak membuat pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis mereka dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka dengan sengaja," katanya.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 29 (A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan kesalahan melalukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga maksimum RM500,000 atau penjara sehingga maksimum lima tahun atau kedua duanya sekali.

Kompaun RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.