Jalan P Srinivasan dinaik taraf dengan kos RM1.45 juta

Sahruddin mengendalikan jengkaut sebagai simbolik pecah tanah Projek Naik Taraf Persimpangan Serinivasan hari ini. Hadir sama Pengarah Kemajuan Tong Tor Sdn Bhd Goh Choon Keong (kanan).
Sahruddin mengendalikan jengkaut sebagai simbolik pecah tanah Projek Naik Taraf Persimpangan Serinivasan hari ini. Hadir sama Pengarah Kemajuan Tong Tor Sdn Bhd Goh Choon Keong (kanan).
A
A
A

KLUANG - Penduduk Kluang terutama pengguna Jalan P Srinivasan yang menghubungkan kawasan Yap Tau Sah ke Jalan Kluang-Kota Tinggi di sini boleh menarik nafas lega apabila kerja menaik taraf jalan berkenaan dimulakan hari ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, projek menarik taraf dengan kos RM1.45 juta itu melibatkan kerjasama Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan pemaju swasta, Kemajuan Tong Tor Sdn Bhd.

"Projek ini dijangka akan mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk disiapkan, yang dijangka siap sepenuhnya Januari atau Februari depan. Sama-sama kita berdoa semoga projek ini berjalan lancar," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek menaik taraf berkenaan di Jalan P Srinivasan di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol Chew Chong Sin serta Pengarah Kemajuan Tong Tor Sdn Bhd Goh Choon Keong.

Dr Sahruddin berkata, usaha menaik taraf jalan dua lorong kepada empat lorong sepanjang 550 meter berkenaan amat perlu kerana ketika ini laluan dua lorong tersebut sempit dan sesak terutamanya pada waktu puncak.

Beliau berkata, daripada keseluruhan kos RM1.45 juta itu, ia melibatkan pembinaan jambatan selebar empat meter di sebelah kanan jalan dengan kos RM500,000 ditanggung oleh Kemajuan Tong Tor Sdn Bhd menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

Katanya, MPK pula membiayai RM950,000 bagi pembinaan jambatan di sebelah kiri, menaik taraf sepanjang Jalan P Srivanasan sehingga persimpangan lampu isyarat Jalan Kluang-Kota Tinggi serta pengalihan dan penyusunan semula lampu isyarat. - Bernama

Artikel Berkaitan: