27 cawangan, sayap Amanah NS luput pendaftaran

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN – Sebanyak 25 cawangan dan dua sayap Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) di Negeri Sembilan telah terluput pendaftaran.

Cawangan yang terlibat ialah 15 cawangan di Jelebu, Tampin sebanyak lapan cawangan dan masing-masing satu cawangan di Kuala Pilah dan Seremban, manakala sayap Pemuda di kawasan Tampin dan Seremban.

Setiausaha Amanah Negeri Sembilan, Mohd Zainuddin Muhammad berkata, semua cawangan dan sayap berkenaan perlu mengadakan mesyuarat penubuhan semula selewat-lewatnya sebelum Jun tahun hadapan.

“Mereka perlu menghantar semua dokumen wajib seperti minit mesyuarat penubuhan dan Borang 9 kepada setiausaha organisasi untuk dimajukan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum Jun 2020.

“Melainkan Kuala Pilah dan Seremban. Ini kerana Kuala Pilah dikategorikan sebagai kawasan yang tidak cukup cawangan dan Seremban pula kerana perwakilan Pemuda dan cawangan Batu Lapan tidak hadir pada mesyuarat sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Selain itu katanya, Mesyuarat Tahunan dan Pemilihan Kawasan Tampin serta sayap Pemuda Negeri Sembilan yang telah dilaksanakan baru-baru ini terpaksa dibatalkan.

Ini kerana katanya, lapan cawangan di kawasan Tampin telah menghantar perwakilan yang telah terluput termasuk Pemudanya.

“Jadi Amanah Kawasan Tampin perlu adakan mesyuarat dan pemilihan semula bermula 16 Oktober ini, manakala Pemuda Negeri Sembilan pula bermula 1 November.

Artikel Berkaitan:

“Tujuh daripada lapan kawasan di Negeri Sembilan telah selesai mengadakan mesyuarat tahunan melainkan Jelebu yang dijadualkan pada 19 Oktober ini,” katanya.

Bagi memastikan segala urusan berjalan lancar, beliau menasihatkan semua jawatankuasa dan ahli yang terlibat untuk membuat persiapan awal dengan mematuhi perlembagaan dan tatacara pemilihan yang telah disediakan oleh ibu pejabat.

"Disebabkan masalah ini Konvensyen Parti Amanah Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 28 Oktober ini ditunda pada November yang akan diberitahu kelak," katanya.

Terdahulu media melaporkan Amanah mengarahkan sebanyak 655 cawangan dan 81 kawasan termasuk sayap Pemuda dan Wanita terpaksa mengadakan mesyuarat tahunan serta pemilihan semula selepas mesyuarat yang dijalankan sebelum ini tidak sah, kata sumber.

Konvensyen Amanah peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan terpaksa ditunda ke tarikh baharu pada November nanti.

Ia berikutan berlaku masalah teknikal melibatkan mesyuarat tahunan Amanah cawangan, kawasan dan sayap-sayap tertentu di seluruh negara terbatal.

ARTIKEL BERKAITAN: Amanah kekal stabil: Mohd Anuar