Pesanan Jho Low konsisten dengan maklum balas Najib: Saksi

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pesanan yang disampaikan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kepadanya berhubung operasi 1MDB adalah konsisten dengan maklum balas yang diberikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahrol Azral, 49, berkata, semasa pengoperasian 1MDB, Jho Low ada beberapa kali menyampaikan kehendak Najib, namun memandangkan ia keputusan yang besar, dia merujuk semula secara bertulis kepada bekas perdana menteri itu untuk mengesahkan kehendak berkenaan.

"Saya dapati bahawa pesanan dan kehendak yang disampaikan oleh Jho Low kepada saya adalah konsisten dengan maklum balas Datuk Seri Najib melalui minit dan juga secara lisan," katanya ketika membacakan penyataan saksi pada hari ke-11 perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB.

Mengenai peranan Jho Low sebagai Penasihat Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Shahrol Azral berkata, sebelum beliau menyertai TIA, Jho Low telah pun menjalankan tanggunggjawabnya sebagai Penasihat TIA sejak di awal penubuhan TIA lagi.

"Bagaimanapun, Jho Low tidak pernah menyatakan kepada saya siapa yang melantiknya sehinggalah pada 8 April 2009, terdapat satu resolusi formal dikeluarkan oleh TIA untuk melantik beliau. Jho Low sendiri yang menyatakan kepada saya bahawa perlunya ada hitam putih (lantikan rasmi) daripada TIA untuk memastikan peranan beliau adalah telus.

"Namun begitu, sebelum lantikan rasmi tersebut dibuat, semua tindakan dan peranan Jho Low adalah konsisten sebagai Penasihat TIA bagi kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

"Ini bermakna surat lantikan rasmi tersebut hanyalah formaliti sahaja kerana peranannya telah dilaksanakan sejak dari awal lagi sebelum saya menyertai TIA," katanya.

Menurut Shahrol Azral, beliau melihat Jho Low sejak dari awal lagi bertindak sebagai penasihat dalam menjaga kepentingan negeri Terengganu dan kerajaan Persekutuan terutamanya dari sudut pelaburan dan 'fund raising'.

Artikel Berkaitan:

"Beliau tiada kuasa formal dalam tadbir urus TIA, namun beliau boleh mempengaruhi keputusan di peringkat Eksekutif kerana beliau mewakili kedua-dua belah pihak atasan iaitu DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin (kerajaan Terengganu) dan Datuk Seri Najib (kerajaan Persekutuan)," katanya yang turut memaklumkan beliau nampak Jho Low memainkan peranan besar sebagai penasihat di peringkat TIA.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 'Pejabat PM terpaksa pertahan Najib, percaya 1MDB satu konspirasi'