Taufan Tapah hampiri Jepun

Taufan Tapah membawa angin kencang berkelajuan 162 km/j. - Foto Agensi
Taufan Tapah membawa angin kencang berkelajuan 162 km/j. - Foto Agensi
A
A
A

TOKYO - Lebih 400 penerbangan terpaksa dibatalkan susulan angin kencang dan hujan lebat selepas Taufan Tapah menghampiri barat daya Jepun semalam.

Menurut laporan Agensi Meteorologi Jepun taufan itu membawa angin dengan kelajuan sehingga 162 kilometer sejam (km/j)dan dijangka membadai wilayah Nagasaki yang berhampiran malam tadi.

Ia telah bergerak antara Jepun dan Semenanjung Korea sebelum menghala ke utara Jepun hari ini.

Setakat ini, Taufan Tapah telah menyebabkan 21 kes kecederaan kebanyakannya di wilayah selatan pulau Okinawa yang dibadai taufan berkenaan terlebih dahulu.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana berpendapat amaran untuk untuk angin kencang, ombak tinggi dan tanah runtuh amat diperlukan sebagai langkah berjaga-jaga untuk semua penduduk di negara itu.

"Nasihat untuk meninggalkan kediaman masing-masing telah dikeluarkan kepada lebih 2,000 penduduk setempat," menurut agensi tersebut.

Awal bulan ini, Taufan Faxai membadai Tokyo hingga menyebabkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik selama lebih seminggu selain turut menjejaskan persediaan Piala Dunia Rugby. - AFP

Artikel Berkaitan: