Jerebu: Pelancong China batal percutian ke Malaysia

Menara Petronas diliputi jerebu.
Menara Petronas diliputi jerebu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jerebu yang melanda negara menyebabkan ribuan pelancong China membatalkan percutian mereka ke Malaysia.

Presiden Malaysia Inbound Chinese Association (MICA), Angie Ng berkata, lebih 100 kumpulan pelancong yang mempunyai sekurang-kurangnya 30 pelancong dalam satu kumpulan beralih untuk bercuti ke negara ASEAN lain seperti Vietnam, Filipina dan Thailand.

Menurutnya, sebahagian daripada kumpulan terbabit mempunyai masa yang cukup untuk membatalkan lawatan.

“Bagi yang tidak begitu bernasib baik, mereka perlu meneruskan lawatan dalam keadaan pelancong mengadu (jerebu).

“70 hingga 80 agensi pelancongan terjejas apabila mengalami penurunan perniagaan sebanyak 20 peratus dengan 20 peratus selepas pelanggan membatalkan percutian ekoran masalah jerebu,” katanya dipetik laporan portal The Malaysian Insight.

Ng berkata, destinasi popular seperti Menara Kuala Lumpur turut gagal menarik kehadiran pelancong berikutan pemandangan 360 darjah sekitar bandar raya ini diliputi jerebu.

Jabatan Meteorologi semalam memaklumkan bahawa kualiti udara di negara ini akan bertambah baik ketika fasa peralihan monsun yang dijangka bermula hari esok hingga November.

Pada masa sama, amaran ribut petir dan banjir kilat dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

Firma perkhidmatan udara swasta mengumpul dana bagi menjalankan operasi pembenihan awan pada minggu lepas di Klang, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Portal itu turut melaporkan polis Indonesia menahan 230 individu yang disyaki memulakan kebakaran sehingga mencetuskan jerebu.

Pihak penguat kuasa Indonesia menyita tanah yang dimiliki sekurang-kurangnya 49 syarikat perladangan pada minggu lepas untuk siasatan selepas kebakaran ditemui di tanah tersebut.

Satelit Agensi Mitigasi Bencana Indonesia memaklumkan bahawa 99 peratus daripada 2,729 titik panas yang dikesan di seluruh negara itu disebabkan oleh pembakaran yang disengajakan.

Pihak berkuasa Indonesia mengerahkan lebih 9,000 orang untuk mengawal kebakaran membabitkan lebih 328,700 hektar tanah.