Sindiket kereta klon sering tukar laman Facebook elak dikesan

Hanif Yusabra (dua dari kanan) bersama barisan pegawai melawat tapak letak kereta lelongan yang dilakukan pihaknya hari ini.
Hanif Yusabra (dua dari kanan) bersama barisan pegawai melawat tapak letak kereta lelongan yang dilakukan pihaknya hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Sindiket penjualan kereta klon yang diseludup dari Singapura dikesan menggunakan modus operandi licik apabila sering bertukar-tukar laman (page) di media sosial Facebook untuk menjalankan kegiatan urus niaga haram mereka.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, taktik pihak sindiket yang dipercayai didalangi warga tempatan itu bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa dan mengelak jejak mereka daripada dikesan.

Menurutnya, bermula 2011 sehingga 22 September 2019 sejumlah 201 kereta klon yang diseludup dari Singapura dirampas dan berdasarkan pengakuan ramai pembeli memberitahu mereka membuat pembelian melalui atas talian.

“Mereka berurusan di media sosial dan memindahkan wang melalui atas talian malah terdapat pembeli yang langsung tidak pernah bersemuka dengan anggota sindiket sehingga kereta klon bertukar tangan.

“Lebih licik apabila laman Facebook milik sindiket ini sering bertukar-tukar baharu dengan tawaran menarik penjualan pelbagai jenis kereta berharga serendah RM3,000 atau 10 kali ganda lebih murah daripada harga asal kereta baharu,” katanya selepas Acara Lelongan Awam Kenderaan Sita JPJ Kelantan Bil 1/2019 di Ibu Pejabat JPJ Kelantan di Panji, di sini hari ini.

Hanif Yusabra (kiri) membunyikan loceng melelong Toyota Estima di acara lelongan kenderaan JPJ Kelantan hari ini.
Hanif Yusabra (kiri) membunyikan loceng melelong Toyota Estima di acara lelongan kenderaan JPJ Kelantan hari ini.

Hanif Yusabra berkata, kegiatan penjualan kereta klon atau kenderaan yang menggunakan identiti kereta sedia ada di Malaysia tersebut mula dikesan di negeri ini sejak 2011.

“Dalam tempoh itu, sejumlah tujuh tangkapan direkodkan pada 2011 manakala melalui operasi khas yang dijalankan pada 2015 dan 2016 merekodkan 157 kenderaan klon disita. Sehingga kini sebanyak 201 kenderaan klon pelbagai jenis dirampas.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu, saya meminta orang ramai supaya tidak terpedaya membeli kereta klon kerana pemilik berdepan tiga dakwaan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memiliki kenderaan tidak berdaftar, Seksyen 108(F) kerana pamer nombor dan lesen bukan kepunyaan kenderaan itu,” katanya.

Tambahnya, sabit kesalahan mengikut Seksyen 7(1) APJ 1987 boleh didenda maksimum RM2,000 dan maksimum RM10,000, manakala Seksyen 108 (3)(f) APJ 1987 denda daripada RM5,000 sehingga RM20,000 atau penjara setahun hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan sama, jabatan berkenaan mencatatkan rekod kutipan hasil tertinggi sebanyak RM167,400 pada lelongan kenderaan termasuk 13 kereta klon yang disita berlangsung hari ini.

“Seramai 97 pembida menyertai lelongan kali ini dengan melibatkan 27 kenderaan dan hasil lelongan tertinggi diperoleh daripada kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Estima klon yang berjaya dilelong dengan harga RM21,700,” katanya.