Peribadi lelaki Muslim dekatkan diri Hanan Safiyyah kepada Islam

A
A
A

KUALA TERENGGANU – Ketinggian akhlak dan budi pekerti seorang lelaki Muslim yang digarap menerusi watak dalam sebuah novel membuka hidayah buat seorang saudara baharu untuk memeluk Islam.

Hannan Safiyyah Tan Sian Hui Abdullah, 29, berkata, dia mengambil keputusan untuk mendekati Islam selepas tertarik dengan watak ditonjolkan dalam sebuah novel yang dibaca ketika menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Bermula daripada menghayati sebuah novel, saya jadi tertarik dengan Islam. Selepas itu, banyak novel-novel bahasa Melayu yang saya beli dan saya pinjam dari perpustakaan.

"Ada juga rakan-rakan yang sudi meminjamkan novel apabila tahu hobi dan minat saya untuk mendalami Islam," katanya ketika ditemui pada Program Kembara Fitrah: Islam Pilihanku di Medan Selera Muallaf di sini baru-baru ini.

Hannan Safiyyah Tan Sian Hui dari Kampung Batu Rakit, Kuala Nerus kini mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Sains Kimia di UMT.

Anak kelahiran Klang itu sebelum ini merupakan penganut Nichiren Shoshu iaitu sebuah aliran agama Buddha yang berasal dari Jepun.

Hannan Safiyyah berkata, walaupun keputusan memeluk Islam mendapat tentangan hebat daripada keluarga, dia tetap istiqamah dan berharap ia adalah petunjuk terbaik buatnya.

"Hampir setahun saya mendalami Islam. Walaupun belum mengucap dua kalimah syahadah, saya telah memakai pakaian menutup aurat, bertudung dan berpuasa.

Artikel Berkaitan:

"Kebetulan juga saya berpeluang belajar di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT dan mengikuti kelas di bawah kelolaan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Terengganu, Datin Norhan Ng.

"Selepas mengikuti kelas Datin Norhana, saya sering teringatkan mati dan azab neraka. Saya bimbang mati dalam keadaan kafir dan rasa amat rugi sekiranya tak sempat mengucap dua kalimah syahadah," katanya.

Bercerita lanjut, Hannan Safiyyah berkata, dia berasa lega setelah memeluk Islam di Darul Fitrah di sini tiga tahun lalu.

Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu telah mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Zulhilmi Ramlee dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur A'iesyah Sofia Muhammad Zulhilmi yang kini berusia sembilan bulan.

Katanya, walaupun ditimpa ujian berat iaitu terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas memeluk Islam, dia tetap yakin itu adalah pilihan terbaik.

"Kemalangan jalan raya berlaku selepas lima hari saya peluk Islam ketika saya memiliki sedikit kekuatan untuk beritahu keluarga mengenai keputusan yang saya ambil.

"Saya bersyukur walaupun kereta rosak teruk dalam kemalangan, saya terselamat. Ketika itulah saya telefon keluarga untuk beritahu saya telah memeluk agama Islam," katanya.

Hannan Safiyyah berkata, walaupun keputusan diambil tidak direstui, dia tidak memutuskan hubungan dengan keluarganya malah terus menghormati dan menyayangi mereka.

"Memang saya tahu mereka tidak merestui keputusan saya. Namun, saya yakin satu-satunya tuhan yang saya sembah ialah ALLAH SWT," katanya.