Bob 'sado' mencuit hati

Aksi Ahmad Basyir yang dirakam ketika acara tarik tali sempena Himpit 2019 di Padang Memorial Batu Bersurat Kampung Buluh, Hulu Terengganu.
Aksi Ahmad Basyir yang dirakam ketika acara tarik tali sempena Himpit 2019 di Padang Memorial Batu Bersurat Kampung Buluh, Hulu Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gelagat seorang lelaki berbadan 'sado' yang menyertai acara tarik tali sempena Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2019) di Padang Memorial Batu Bersurat Kampung Buluh, Hulu Terengganu yang ditularkan menerusi laman sosial Facebook semalam mencuit hati netizen.

Telatah Ahmad Basyir Mohamad Zaki, 29, dari Kampung Pak Madah, Marang yang ditempatkan pada posisi paling belakang atau bertindak sebagai 'nunggul' (ahli pasukan yang memiliki kekuatan paling maksimum) menarik perhatian ramai.

Apa yang menarik, posisi Ahmad Basyir yang kekal pada kedudukan asal sejak perlawanan bermula membuktikan dia langsung tidak tergugat dengan kekuatan pihak lawan sekali gus melayakkan pasukan itu bergelar juara.

Perkongsian video menerusi akaun facebook Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu Official petang semalam sehingga kini mendapat 771 reaksi, 390 perkongsian dan 136,000 tontonan.

Kebanyakan netizen meluahkan rasa kagum dengan kekuatan Ahmad Basyir yang berjaya mengalahkan pihak lawan.

Aksi awal perlawanan tarik tali yang dikongsi menerusi media sosial Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu Official semalam.
Aksi awal perlawanan tarik tali yang dikongsi menerusi media sosial Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu Official semalam.

Menurut Ketua Kontinjen Pemuda Pas Marang, Amar Jaafar, Ahmad Basyir atau lebih dikenali sebagai Bob merupakan Pemuda Pas cawangan Pak Madah, Marang dan mewakili kontijen daerah itu dalam acara tarik tali bagi menentang pasukan dari Dungun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pasukan Ahmad Basyir sentiasa menjuarai dan mendapat tempat dalam pertandingan tarik tali.

"Dalam tiga tahun kebelakangan ini, setiap kali kita adakan acara atau pertandingan tarik tali, pasukan Bob memang akan menang.

"Walaupun ada kalanya tak bergelar juara, pasukan itu akan mendapat tempat kedua atau ketiga, setakat ini tak pernah dikalahkan lagi," katanya.

Beliau berkata, pelbagai acara sukan lain turut diadakan sempena Himpit 2019 antaranya seperti penalti gol, timbang bulu ayam, acara basikal niti, gusti air, lastik botol dan explorace.

Turut dimuatkan adalah acara pengisian kerohanian seperti bual bicara, kendiri, kuliah dan munajat perdana.

Himpit 2019 berlangsung selama tiga hari bermula 19 September lalu dan dirasmikan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang.