Jalur Gemilang guna 1,210 donut

Pelajar SMPK Vokasional Kuantan menyiapkan donut jalur gemilang pada Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan dan Pelancaran Kelab Rukun Negara SMPK Vokasional Jumaat lalu.
Pelajar SMPK Vokasional Kuantan menyiapkan donut jalur gemilang pada Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan dan Pelancaran Kelab Rukun Negara SMPK Vokasional Jumaat lalu.
A
A
A

KUANTAN - Dalam tempoh 10 jam, seramai 76 pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vakasional Kuantan berjaya menghasilkan sebanyak 1,210 donut Jalur Gemilang Jumaat lalu.

Ketua projek, Nor Khalifa Azlina Ramli berkata, bagi menghasilkan donut 1.53x3 meter mengikut warna Jalur Gemilang itu, empat proses dilakukan dengan menggunakan sebanyak 260 gram serbuk penaik, 1.8 kilogram (kg) marjerin, 2kg gula, 8kg coklat, 13kg tepung dan 104 telur ayam.

Menurutnya, lapan tahun lalu, mereka berjaya menghasilkan kek saiz besar dan projek tersebut kali pertama dihasilkan.

"Sebenarnya idea menghasilkan donut Jalur Gemilang bersaiz besar tercetus apabila pelajar memiliki kemahiran menghasilkan produk itu dan ia salah satu aktiviti modul pendidikan pelajar di SMPK Vokasional Kuantan.

"Kos menghasilkan 1,210 donut ialah RM320 diagihkan kepada seramai 76 pelajar dan 18 guru dua biji seorang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Projek donut Jalur Gemilang bersaiz besar dihasilkan sempena Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan dan Pelancaran Kelab Rukun Negara SMPK Vokasional Kuantan disempurnakan Pegawai Perpaduan Daerah, Alias Mat.

Sementara itu, penasihat projek, Khamsawati Jaafar berkata, semua pelajar terbabit terdiri daripada masalah pembelajaran dan masalah pendengaran.

Jelasnya, berat semua donut ialah 40kg, sebanyak 103 donat berwarna kuning, 204 (biru), 894 merah dan putih.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapat lihat kemahiran yang dimiliki pelajar ini dan ia amat memudahkan mereka menghasilkan donut seterusnya menghasilkan replika Jalur Gemilang bersaiz besar.

"Meskipun mengambil masa panjang, namun semangat dan kesungguhan ditunjukkan pelajar begitu tinggi hingga berjaya sepenuhnya," katanya.