Mira Filzah Bintang Paling Popular ABP32

Mira Filzah, Bintang paling Popular ABP32 (Foto: Zahid Izzani)
Mira Filzah, Bintang paling Popular ABP32 (Foto: Zahid Izzani)
A
A
A

PELAKON Mira Filzah menepati ramalan ramai apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular ke-32 (ABP32) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 26, turut memenangi anugerah Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama Remy Ishak untuk kategori online.

Kemenangan itu sekaligus menyaksikan Mira membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid beserta trofi.

“Alhamdulillah rezeki berpihak pada Mira dan Mira percaya ini adalah hasil usaha para peminat yang telah mengundi tanpa henti dan sentiasa menyokong kerjaya seni Mira selama ini.

“Mira percaya rezeki itu ALLAH dah tetapkan, selain usaha yang kita lakukan. Kemenangan bukanlah jalan mudah untuk kita lebih relaks atau goyang kaki, tapi bagi Mira bila dah menang ia seperti satu tanggungjawab untuk Mira memperbaiki diri pada masa akan datang supaya kemenangan itu dilihat berbaloi oleh semua orang.

“Kalau boleh, Mira nak orang nampak bakat Mira. Biarlah kemenangan itu selari dengan bakat dan bukan semata-mata kerana gosip dan sebagainya,” katanya yang ditemui selepas majlis berakhir.

Dalam pada itu, saingan terdekat Mira, Siti Nordiana turut mencipta kenangan manis apabila memenangi dua anugerah bagi kategori Penyanyi Wanita Popular DuitNow dan Pengacara TV Popular.

Sementara itu, ABP32 turut memberi Anugerah Khas Pencapaian Sepanjang Hayat kepada kumpulan Raihan atas pencapaian dan sumbangan mereka terhadap industri seni tanah air.

ABP32 yang dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan Elly Mazlein itu, disiarkan secara langsung menerusi saluran TV3.

SENARAI PEMENANG ABP32

Artikel Berkaitan:

Kategori Utama

  1. Bintang Paling Popular: Mira Filzah
  2. Pelakon Filem Lelaki Popular: Fattah Amin
  3. Pelakon Filem Wanita Popular: Mira Filzah
  4. Penyanyi Lelaki Popular DuitNow: Khai Bahar
  5. Penyanyi Wanita Popular DuitNow: Siti Nordiana
  6. Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular: Dayang Nurfaizah & Hael Husaini
  7. Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa: Syafiq Kyle
  8. Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa: Mira Filzah
  9. Pengacara TV Popular: Siti Nordiana
  10. Penyampai Radio Popular: DJ Lin
  11. Artis Komedi Popular: Zizan Razak
  12. Artis Versatil Popular: Janna Nick
  13. Artis Baharu Lelaki Popular: Adam Lee
  14. Artis Baharu Wanita Popular: Haneesya Hanee
  15. Artis Korea Popular: BTS
  16. Artis Indonesia Popular: Laudya Cynthia Bella

Anugerah Khas Pencapaian Sepanjang Hayat: Raihan

Kategori Online

  1. Artis Sensasi Popular: Haqiem Rusli
  2. Gandingan Serasi Drama Popular: Mira Filzah & Remy Ishak
  3. Gandingan Serasi Filem Popular: Hannah Delisha & Syafiq Kyle
  4. Pelakon Watak Antagonis Popular: Shukri Yahaya
  5. Lagu Paling Boom: Selamat Tinggal Sayang (Haqiem Rusli)