Impian Malaysia ke pusingan akhir musnah

-Foto FAM
-Foto FAM
A
A
A

IMPIAN Malaysia ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bola Asia (AFC) Bawah 16 Tahun pada tahun depan musnah apabila seri 2-2 dengan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan J di Stadium Nasional Vientiane, Laos, hari ini.

Keputusan tersebut menyaksikan anak buah P Maniam muncul naib juara kumpulan dengan mengutip empat mata daripada tiga perlawanan, sekali gus gagal menjadi empat pasukan naib juara terbaik bagi mengiringi 11 juara setiap kumpulan ke pusingan akhir di Bahrain tahun depan.

Malaysia dan Jepun menampilkan aksi seimbang sepanjang babak pertama tanpa jaringan sebelum babak kedua menyaksikan skuad negara terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas penjaga gol, Zulhilmi Sharani dilayangkan kad merah apabila mengasari seorang pemain Jepun pada minit ke-60.

Penalti yang dihadiahkan kepada Jepun oleh pengadil Shukri Hussain A Alhunfush pada minit ke-63 berjaya disempurnakan oleh pemain tengah, Rui Osaka, sebelum Muhammad Daniel Edzuan Mohd Anuar meledak gol penyamaan menerusi penalti pada minit ke-73.

Muhammad Daniel Edzuan terus memberi harapan kepada skuad negara apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-83 namun kelekaan pemain negara pada masa kecederaan membawa padah apabila Yamato Naito mengesahkan kedudukan Jepun selaku juara kumpulan dengan jaringan penyamaan.

Malaysia memulakan kempen dengan membelasah Kemboja 7-0, Rabu lalu dan tewas 1-0 kepada Laos, dua hari kemudian. - Bernama

Artikel Berkaitan: