Notis maklum semua sekolah di Selangor ditutup palsu

Notis penutupan semua sekolah di Selangor yang tular di media sosial hari ini disahkan palsu.
A
A

SHAH ALAM - Notis arahan penutupan semua sekolah swasta dan kerajaan berikutan keadaan jerebu di Selangor yang tular di media sosial hari ini, disahkan sebagai tidak benar dan palsu.

Pejabat Menteri Besar Selangor menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, hanya 57 sekolah yang ditutup seperti dimaklumkan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Saya ingin sahkan di sini bahawa kenyataan media tersebut palsu. Yang benar hanya 57 buah sekolah yang terlibat seperti dalam kenyataan media KPM," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, notis palsu menggunakan nama Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana Negeri Selangor terbabit memaklumkan semua sekolah swasta dan sekolah kerajaan di negeri ini diarah tutup selama dua hari hingga Selasa.

Ia berikutan keadaan jerebu yang berlaku di semua daerah di negeri Selangor.

Kenyataan palsu itu turut menyebut keadaan jerebu berterusan sehingga minggu hadapan dan didapati semua stesen pemantauan kualiti udara menunjukkan bacaan tidak sihat dan sangat tidak sihat.

Dalam pada itu, KPM sebelum ini memaklumkan sebanyak 57 sekolah di daerah Kuala Langat dan Klang akan ditutup esok berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 pada jam 3 petang ini.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam satu kenyataan berkata, penutupan sekolah itu melibatkan 30 buah sekolah di Kuala Langat dan 27 buah sekolah di Klang.

Penutupan itu melibatkan seramai 68,025 pelajar dan sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Peperiksaan PSRA di Selangor tetap dijalankan esok: JAIS