Warga emas maut rumah terbakar

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang wanita warga emas maut, manakala rumahnya musnah dalam satu kebakaran di Kampung Lubuk Pinang, Sanglang dekat Jitra awal petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa, Arison Karia, 82, berjaya dikeluarkan oleh orang awam daripada rumahnya yang terbakar, namun disahkan sudah meninggal dunia.

"Pihak bomba menerima panggilan pada 4.03 petang dan tiba di lokasi pada 4.19 petang. Pada masa itu api sudah terpadam dan mangsa sudah dikeluarkan daripada rumahnya yang terbakar.

"Mangsa tinggal seorang diri di rumah berkenaan dan akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan akibat terbakar lebih 90 peratus pada badannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kemudian melakukan kawalan kebakaran sehingga api di kediaman berkenaan disahkan padam sepenuhnya, manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat.

Katanya, punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: