Kes tembak di Tumpat: Suspek bukan penembak profesional

Laporan Sinar Online berhubung kejadian.
Laporan Sinar Online berhubung kejadian.
A
A
A

KOTA BHARU - Lelaki yang cedera dalam kejadian tembakan di Kampung Neting Pengkalan Kubor Tumpat pada Jumaat lalu dipercayai ditembak menggunakan pistol jenis Revolver.38.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, berdasarkan tembakan yang terkena pada mangsa itu dipercayai bukan dilakukan pembunuh upahan yang mahir atau penembak profesional.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan menyeluruh melalui pasukan khas bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

“Mangsa berusia 24 tahun merupakan anak kepada seorang pengusaha bot ikan di kawasan Tumpat.

“Siasatan polis dinilai daripada semua sudut dan setakat ini motif sebenar kejadian masih belum diketahui sama ada berkaitan isu peribadi atau perniagaan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan perasmian penutup Program Ikatan Kasih warga polis Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.

Hasanuddin berkata, mangsa selesai menjalani pembedahan di bahagian perut, tapak tangan dan paha serta dilaporkan stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

“Kita belum mengambil keterangan daripada mangsa yang cedera,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah mengambil keterangan daripada rakan-rakan mangsa termasuk seorang wanita berusia 27 tahun.

“Suspek sedang diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan mangsa cedera di perut, paha dan tangan selepas terkena tiga das tembakan yang dilepaskan seorang lelaki bermotosikal ketika sedang menjamu selera di sebuah kedai makan di Kampung Neting, Pengkalan Kubor, Tumpat.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ditembak di kedai makan