Jerebu: Arah tiupan angin berubah, hujan lebat bakal turun

Pemandangan Bangunan Parlimen kelihatan kabur akibat berjerebu ketika tinjauan foto Bernama hari ini. -Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjelaskan jerebu di negara ini akan beransur pulih berdasarkan kepada laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) kerana fasa peralihan Monsun Barat Daya di negara ini.

Nadma dalam satu kenyataan hari ini berkata, bermula sekarang angin barat daya yang sebelum ini bertiup dari negara jiran iaitu Indonesia ke Malaysia akan beransur berubah arah.

"MET meramalkan bahawa mulai malam ini atau esok negara dijangka akan menerima angin dari arah timur atau timur laut. Dengan kehadiran angin dari arah timur, asap jerebu dari negara jiran dijangka tidak lagi akan menuju ke negara kita dan keadaan jerebu akan berkurangan.

"Semasa fasa peralihan monsun, angin dijangka akan bertiup dari beberapa arah manakala keadaan cuaca yang lebih lembab lazimnya dialami oleh negara ini. Lazimnya ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri-negeri pantai barat dan pedalaman, Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan tengah dan barat Sarawak.

"Sehubungan dengan itu cuaca berjerebu dijangka bertambah baik dan jika ada pun akan bersifat sementara," katanya hari ini.

Katanya, setakat jam 5 petang tadi, indeks pencemaran udara (IPU) di 44 lokasi di negara ini berada pada kadar tidak sihat dan hanya satu lokasi menunjukkan sangat tidak sihat iaitu di Johan Setia, Selangor manakala 22 lokasi lagi berada di tahap sederhana," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: 57 sekolah di Kuala Langat dan Klang tutup esok

Mengulas mengenai operasi pemadaman kebakaran di Sarawak, Nadma berkata, hasil pemantauan dan penilaian Bomba negeri itu mendapati kebakaran gambut atau 'peat fire' masih berlaku serta kebakaran bertompok di Sri Aman dianggarkan seluas 4 hektar.

"Operasi pemadaman di lokasi kebakaran di Sarawak akan diteruskan. Operasi pemadaman melalui darat dibuat oleh pasukan bomba dengan bantuan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi lain di peringkat negeri.

Katanya, operasi pembenihan awan (OPA) ditangguhkan mulai hari ni kerana keadaan atmosfera dan dijangka tidak perlu diteruskan buat masa sekarang kerana tiupan angin timur yang turut membawa hujan turun.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah melaksanakan pemadaman kebakaran di Seri Aman pada hari ini menggunakan kaedah water boombing menggunakan pesawat Bombardier.

"OPA dirancang akan dilaksanakan lagi minggu depan di negeri-negeri mengalami jerebu di Semenanjung bergantung kepada keadaan atmosfera," katanya.