X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka bertemu SPAN bincang isu air esok

Adly (kanan) selepas perasmian program Expo Melaka Sihat, Alami Gaya Hidup Sihat di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) esok bagi melihat semula perancangan pembangunan infrastruktur air di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, ia merupakan antara langkah yang diambil pihak kerajaan negeri dalam memastikan masalah gangguan bekalan air bagi menampung keperluan penduduk tidak berulang di negeri itu.

"Kita akan melihat apa tindakan yang boleh diambil menerusi perancangan membangunkan infrastruktur air tersebut kerana bagi kita, Melaka mempunyai sumber air yang mencukupi namun ia tidak disusun dengan betul.

"Jadi kita akan lihat sekiranya infrastruktur ini boleh dilaksanakan dalam tempoh tahun ini seterusnya pengguna di Melaka berkemungkinan tidak menghadapi masalah air kelak," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Expo Melaka Sihat 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Adly yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Katil berkata, pihaknya turut mengambil beberapa langkah bagi menangani masalah catuan air di negeri ini termasuk projek pembinaan pengambilan air dari Tasik Biru Chin Chin, Jasin yang menelan kos hampir RM30 juta.

"Dijangka kerja-kerja bagi pengambilan air dari tasik itu untuk ke Empangan Durian Tunggal mengambil masa enam bulan untuk siap sepenuhnya.

"Sekiranya ini berlaku kita tidak bimbang untuk menghadapi musim kemarau pada masa akan datang kerana Tasik Biru mempunyai kuantiti air yang banyak," katanya.

Beliau berkata, dianggarkan 14 peratus pemilik akaun Syarikat Bekalan Air Melaka (SAMB) bakal terjejas dan akan menerima pemberian bekalan air berjadual di kawasan-kawasan tertentu terutama di kawasan bandar.

"Sekiranya perubahan monsun berlaku namun keadaan masih tetap tidak hujan maka tidak mustahil jumlah mereka yang terjejas turut akan meningkat melebihi 14 peratus," katanya.

Adly berkata, setakat ini terdapat 28 buah lori tangki yang beroperasi mengagihkan air kepada penduduk terjejas di negeri ini.

Katanya, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk memastikan kemelut catuan air ini dapat ditangani dengan baik termasuk menggunakan perkhidmatan swasta untuk menyalurkan air kepada rakyat.

"Kita merancang untuk menambah lagi bilangan lori tangki supaya petugas-petugas dapat memikul dengan lebih baik dan keperluan itu dapat diagihkan hingga ke peringkat akar umbi masyarakat,.

"Sebenarnya kerajaan negeri telah membelanjakan kira-kira RM18 juta bagi pengambilan air mentah dari negeri Johor pada tahun ini, bagaimanapun pengambilan air di Negeri Sembilan belum dimuktamadkan," katanya.