Mayat lelaki tanpa pakaian ditemukan terdampar

Mayat seorang lelaki ditemukan terdampar di tepi pantai Batu 1 dekat Port Dickson semalam. - Foto PDRM
Mayat seorang lelaki ditemukan terdampar di tepi pantai Batu 1 dekat Port Dickson semalam. - Foto PDRM
A
A
A

PORT DICKSON - Mayat seorang lelaki ditemukan terdampar di tepi pantai Batu 1 dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.53 pagi memaklumkan terjumpa seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri di pesisiran pantai berdekatan Sunshine Bay Hotel.

"Ekoran itu, pihak polis ke lokasi kejadian dan siasatan awal mendapati mayat dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian.

"Pemeriksaan ke atas tubuh badan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tanpa suntikan BCG pada lengan.

"Siasatan juga dapati tiada kesan cedera atau luka pada tubuh badan dan mangsa disyaki berbangsa Cina berdasarkan raut wajah," katanya.

Tambahnya, siasatan di kawasan berhampiran dalam jarak lebih kurang 50 meter dari tempat mangsa ditemui tidak menjumpai sebarang kenderaan atau pakaian yang ditinggalkan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

"Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi Balai Polis Port Dickson di talian 06-6472222 atau mana-mana balai polis berhampiran.