Jerebu: 57 sekolah di Kuala Langat dan Klang tutup esok

A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 57 sekolah di daerah Kuala Langat dan Klang akan ditutup esok berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 pada jam 3 petang ini.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dalam satu kenyataan berkata, penutupan sekolah itu melibatkan 30 buah sekolah di Kuala Langat dan 27 buah sekolah di Klang.

"Penutupan ini melibatkan seramai 68,025 pelajar dan sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"Semua sekolah yang tidak disenaraikan akan kembali beroperasi seperti biasa pada Isnin, 23 September 2019," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak sekolah juga diingatkan supaya mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid serta guru sepanjang masa.

"Bagi sekolah yang merujuk bacaan stesen IPU melebihi 100, pihak sekolah diingatkan supaya menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan semua murid. Aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan hendaklah ditangguhkan.

"Pihak sekolah juga diingatkan sekiranya mendapati bacaan IPU di kawasan mereka melebihi 200, pihak sekolah perlu mengambil tindakan selaras dengan Surat Siaran KPM bilangan 1/2019 dengan menutup sekolah serta merta dan melaporkan segera penutupan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan JPN," katanya.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Artikel Berkaitan: