Cabaran NGO kebajikan

A
A
A

PERTUBUHAN bukan kerajaan atau NGO, ringkasan bagi non-governmental organisation mampu menjadi rakan strategik kerajaan dalam merealisasikan sesuatu dasar untuk kebaikan rakyat seperti membantu golongan berpendapatan rendah (B40).

Ia bagi NGO yang berlandaskan kebajikan.

Bagi saya, wujudnya NGO sebegini secara tidak langsung menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia yang prihatin dan sanggup meluangkan masa serta wang ringgit bagi membantu mereka yang memerlukan tanpa mengharapkan apa-apa balasan hanya mengimpikan ganjaran serta balasan pahala daripada Yang Maha Kuasa sebagai bekal di akhirat kelak.

Tidak mudah untuk menjadi sukarelawan NGO, lebih-lebih lagi jika memegang jawatan. Ia tanggungjawab yang amat besar dan memerlukan banyak pengorbanan.

Tiada istilah privasi bagi mereka yang bergiat dalam NGO.

Jika pada hari bekerja mereka sibuk dengan kerja hakiki masing-masing, hari minggu pula sibuk dengan aktiviti NGO.

Bagi NGO yang fokus pada kebajikan, ziarah ke rumah mereka yang kurang bernasib baik merupakan salah satu aktiviti wajib.

Ketika ziarah inilah mereka akan tahu keadaan sebenar rumah serta situasi keluarga yang diziarahi. Ada yang rumahnya kecil dan sempit, atap bocor, dinding kayu berlubang dimamah anai-anai.

Artikel Berkaitan:

Rakyat Malaysia terkenal dengan jiwa yang pemurah.

Tidaklah begitu sukar untuk mendapatkan bantuan atau sumbangan untuk asnaf yang dilawati.

Biasanya, bagi setiap berita yang tersiar di dada akhbar mahupun yang dikongsi di media sosial akan ada yang menyumbang, bezanya hanya pada jumlah sumbangan banyak atau sedikit.

Baru-baru ini, saya telah mengikuti rombongan sukarelawan Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) dengan kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) ke rumah seorang pesakit angin ahmar di Kota Bharu.

Rombongan sukarelawan yang diketuai oleh Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad itu menyampaikan sumbangan katil hospital, kerusi roda dan wang tunai.

Ada juga NGO lain yang memberikan sumbangan sedemikian rupa, yang berbentuk one off dan ada juga yang memberi sumbangan susulan sebanyak dua atau tiga kali.

Bagaimanapun, bagi YKKK dan POKB, mereka biasanya akan mahu memastikan kelestarian sumbangan tersebut agar lebih holistik.

Bagi mereka, yang penting kebajikan pihak yang disantuni lebih terjamin dengan berusaha memastikan bantuan yang dihulur mempunyai kesan jangka masa panjang.

Dalam hal itu, mereka bukan sekadar memberi sumbangan tetapi turut memanjangkan kes kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta membuat tindakan susulan hingga permohonan mendapatkan bantuan bulanan diluluskan. Selain itu, YKKK dan POKB turut membantu dalam urusan mendapatkan rawatan susulan hospital serta rawatan alternatif, jika perlu.

Cabaran

Hasil perbualan saya dengan Pengerusi dan Pengasas YKKK dan POKB, Sheikh Ahmad Dusuki, antara cabaran besar mengendalikan NGO kebajikan adalah untuk mendapatkan sumbangan bagi membiayai kos operasi.

Biasanya, mereka yang mahu membantu ingin memberikan 100 peratus sumbangan kepada penerima sumbangan kebajikan atau golongan kurang bernasib baik yang berkenaan.

Pihak NGO jarang sekali menerima sumbangan bagi membiayai kos operasi seperti gaji atau elaun petugas sepenuh masa juga bayaran bil telefon, elektrik dan air pejabat serta kos-kos operasi lain. Maka, akhirnya dan selalunya duit poket sendiri yang terpaksa dikeluarkan bagi membiayai kos operasi itu.

Hakikatnya, sumbangan menampung kos operasi NGO akan mendapat ganjaran, insya-ALLAH kerana NGO itu saban masa membantu mereka yang memerlukan.

Itu antara cabaran yang dihadapi oleh YKKK dan POKB, serta NGO-NGO lain seumpamanya.

Tidak hanya berkorban masa dan tenaga, mereka juga berkorban duit bagi memastikan setiap aktiviti yang dicadangkan berjalan dengan lancar.

Sememangnya penglibatan dalam NGO sebegini atau apa hal sekalipun memerlukan minat dan kemahuan yang mendalam kerana itulah yang akan memastikan kelestarian satu-satu badan NGO.

Semoga dipermudahkan segala urusan NGO-NGO yang menjalankan kerja-kerja kebajikan ini.

Marilah kita sama-sama membantu. Jika tidak mampu mencurahkan masa dan tenaga, sumbangkanlah sedikit daripada pendapatan kita kepada NGO terbabit.

Moga ia diterima sebagai sedekah jariah, bekalan untuk kita di sana nanti.