Pengaruh Normah dalam perakaunan

A
A
A

SUATU ketika dahulu bila bercakap berkenaan perakaunan, agak janggal hingga menakutkan khususnya dalam kalangan Melayu dan bumiputera. Ia kerana perakaunan melibatkan soal pengiraan, kewangan dan ekonomi yang jarang diceburi oleh anak jati.

Namun kini, perakaunan bukan lagi asing dan mendapat tempat dalam kalangan pelajar di pusat pengajian tinggi. Lebih membanggakan apabila ramai bijak pandai dan akauntan Melayu-bumiputera yang mencetak kejayaan dan menjadi pemilik syarikat serta firma perakaunan di peringkat antarabangsa.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah salah satu gedung ilmu dan institusi yang mengeluarkan ramai akauntan bumiputera di persada antarabangsa.

Kursus yang ditawarkan bukan sahaja menjadi pilihan utama tetapi mendapat pengiktirafan di peringkat dunia dan mencipta banyak kejayaan.

Lebih membanggakan apabila Pengarah Perakaunan Penyelidikan (Accounting Research Institute @ ARI), UiTM, Profesor Dr Normah Omar dinobatkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Cape Town, Afrika Selatan baru-baru ini.

Kegemilangan yang membuktikan insan Melayu ini sebagai pelopor dalam bidang kewangan Islam dan menembusi legasinya di peringkat antarabangsa.

Anugerah itu diberikan kepada seorang tokoh luar yang memberikan sumbangan sepanjang hayat mereka kepada dunia perbankan dan kewangan Islam.

Normah ialah penyelidik perintis kriminologi Islam dan menumpukan minat penyelidikan dan merealisasikan aspirasi nasional sehingga Malaysia muncul sebuah hab kewangan Islam. Beliau sebelum ini melakar kejayaan yang mengharumkan nama UiTM dan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pada Jun lalu, beliau dinobatkan sebagai salah seorang wanita paling berpengaruh dalam bidang kewangan Islam oleh Cambridge International Finance Advisory. Ia sebuah organisasi perkhidmatan kewangan berpusat di United Kingdom yang

menyediakan khidmat nasihat strategik kepada badan kerajaan, institusi kewangan dan organisasi dua hala memajukan pasaran kewangan.

Berkat usaha

Sewaktu diwawancara, beliau menyatakan pada awalnya agak sukar untuk meyakinkan pengamal dan pendokong perakaunan konvensional. Apatah lagi apa yang diperjuangkan menggunakan pendekatan Islamik.

Namun berkat usaha bersama kumpulan penyelidik daripada UiTM dan sokongan rakan profesor di Univeristy of Oxford dan Cambridge, bidang kewangan Islam mula diterima antarabangsa.

Beliau bersyukur kerana pakar antarabangsa mengiktiraf usaha perbankan Islam dan pendekatan perakaunan kriminologi yang lebih rasional dan diterima sejagat. Pendekatan Islam itu sendiri ini menjadi trend dan diamalkan di beberapa buah negara.

Menurut Normah, usaha dan kepakaran penyelidik dan pensyarah UiTM mengorak langkah membantu negara membangun menyediakan kemudahan perbankan Islam secara atas talian.

Malah beliau berhasrat membantu beberapa golongan berpendapatan rendah untuk menggunakan teknologi perbankan dalam perniagaan mereka agar terus bersaing dalam pasaran.

Beberapa langkah telah dirangka untuk membantu negara Islam menggunakan pendekatan perbankan Islam dan perakaunan kriminologi Islam bagi mengatasi penyelewengan dan rasuah.

Anugerah itu sekali gus mengiktiraf dedikasi dan kesungguhan Normah dan UiTM dalam usaha memajukan kajian perlakuan jenayah dalam bidang Kewangan Islam atau Kriminologi Kewangan Islam.

Di bawah pimpinan beliau, ARI telah diberikan status Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia sejak 2010. Institut itu meletakkan penyelidikan bidang kewangan Islam sebagai fokus utama.

Kemudian pusat itu terus melebarkan agenda memartabatkan penyelidikan dalam bidang kewangan Islam di peringkat global.

Selaras kepakarannya, Normah banyak memberikan sumbangan dengan menjalin kerjasama dengan agensi dan badan kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia.

Beliau juga pakar dan penasihat kepada Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah, Persatuan Pakar Bertauliah Anti-Pengubahan Wang Haram dan beberapa persatuan lagi.

Kegemilangan yang ditunjukkan oleh Normah menjadi lambang dan hasrat kecemerlangan Melayu-bumiputera.

Prinsip beliau: “Jika kita memberi fokus dan memberi keutamaan pada apa yang kita lakukan, kita akan mencipta kejayaan.”