X

Kindly register in order to view this article
!

Jagalah kebajikan anak

A
A

BARU-BARU ini, heboh diperkatakan tentang seorang ibu dipenjarakan kerana ingkar perintah mahkamah yang memberi hak lawatan anaknya kepada bekas suami.

Tular pelbagai komentar yang memberi pelbagai pandangan berkenaan isu tersebut.

Banyak juga rakaman yang tular mengisahkan perebutan anak-anak disiarkan di media sosial dan arus perdana yang menunjukkan sikap ego serta baran kedua belah pihak menangani isu penjagaan dan lawatan anak itu.

Malah acap kali kita membaca di dada akhbar berita pertikaian di mahkamah syariah ataupun di luar mahkamah syariah babitkan pasangan bercerai.

Sering kali perebutan anak jadi isu utama.

Anak-anak ini seolah-olah komoditi bagi ibu bapa yang bercerai atau di ambang perceraian.

Tidak kurang juga anak-anak dijadikan alat untuk membalas dendam antara satu sama lain.

Secara umumnya, mengikut hukum syarak walaupun sesiapa yang mendapat hak jagaan anak, pihak yang tidak mendapat hak jagaan berhak melawat anak-anak tersebut mengikut kesesuaian anak-anak.

Ia kerana kebajikan anak mendapat kasih sayang kedua ibu dan bapa amat dipentingkan.

Itulah sebabnya jika bapa tidak mendapat hak jagaan anak, bapa tersebut masih perlu bayar nafkah anaknya.

Sebagai seorang peguam syarie, saya telah melihat ramai bapa yang dipenjarakan oleh mahkamah syariah kerana gagal membayar nafkah anak mereka.

Malah tidak kurang juga ibu yang dipenjara kerana enggan memberikan hak kepada bapa menziarahi anak tanpa sebab yang munasabah.

Sekiranya suami dan isteri bercerai hanya mereka sahaja yang bercerai.

Hubungan anak dengan bapa atau ibu tidak putus sampai ke akhirat.

Oleh itu, jangan sekali-kali mencipta alasan dengan tujuan tidak membenarkan bapa atau ibu menziarahi dan merapatkan hubungan dengan anak-anak.

Bawalah berbincang agar kebajikan anak tersebut dibela walaupun ibu bapa mereka bercerai.

Pasangan yang bercerai perlu menyediakan minda positif dalam menghadapi perceraian.

Jika mereka benar-benar sayangkan anak-anak maka berusahalah berbincang dan beri yang terbaik bagi anak-anak mereka.

Walaupun mereka sudah bercerai mereka masih boleh menjadi kawan dengan menyantuni batas-batas yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.

Hukum syarak telah mengaturkan dengan baik hubungan ibu bapa dengan anak-anak selepas kedua ibu bapa bercerai.

Ibu pada lazimnya diberikan keutamaan mendapat hak jagaan anak manakala bapa masih menanggung nafkah anak.

Dengan cara itu, hubungan keduanya berkekalan.

Namun begitu, jika si ibu menghalang bapa menziarahi anak tanpa sebab munasabah ataupun mempengaruhi anak agar enggan berjumpa bapa mereka sudah pasti bapa tersebut bertindak balas tidak mahu memberikan nafkah kepada anak-anaknya.

Akhirnya kebajikan anak dinafikan.

Saya amat memahami penderitaan wanita yang diceraikan khususnya bagi mereka yang diceraikan tanpa sebab yang munasabah.

Namun wanita tersebut mempunyai remedi yang dibenarkan mengikut undang-undang menuntut di mahkamah syariah.

Anak kecil yang belum mumaiyiz tidak tahu hak mereka di sisi undang-undang dan bergantung harap ihsan ibu bapa.

Ibu yang biasanya diberikan hak jagaan anak dan bertanggungjawab membentuk peribadi mulia anak-anak seharusnya ambil langkah bijak memberi perspektif positif kepada anak-anak terhadap perceraian yang dilalui.

Saya perhatikan jarang perkara sebegini berlaku. Sering kali anak menjadi mangsa persengketaan ibu bapa.

Oleh itu, kedua ibu bapa mesti berperanan memberikan yang terbaik kepada anak-anak bukan menjadikannya sebagai alat membalas dendam.

Hukum syarak telah mengaturkan dengan baik hubungan ibu bapa dengan anak-anak selepas kedua ibu bapa bercerai. Ibu pada lazimnya diberikan keutamaan mendapat hak jagaan anak manakala bapa masih menanggung nafkah anak.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus