Tahun 2020 signifikan buat kerajaan PH: Anthony Loke

Anthony Loke -Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Tahun 2020 merupakan tahun yang amat signifikan buat kerajaan Pakatan Harapan (PH) memandangkan pelbagai acara antarabangsa akan berlangsung di Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini termasuklah persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) selain merupakan Tahun Melawat Malaysia (TMM).

Katanya, kali terakhir negara menjadi tuan rumah persidangan APEC ialah pada tahun 1998 iaitu 22 tahun lalu.

"Ini akan menjadi satu perangsang kepada pertumbuhan ekonomi kita dengan pelbagai acara dilaksanakan," katanya semasa berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan ke-20 di sini hari ini.

Dalam tempoh itu, Anthony yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, kerajaan berhasrat untuk melihat rakyat merasai perubahan yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha menjadikan negara lebih maju selain menambah baik kehidupan masyarakat.

"Pada tahun hadapan, walaupun ekonomi global akan berdepan cabaran dan keadaan ekonomi dunia tidak stabil, tapi kita masih yakin 2020 akan menjanjikan satu pertumbuhan yang sihat untuk Malaysia," katanya.

Konvensyen berkenaan dirasmikan Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan turut dihadiri Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta barisan kepimpinan PH negeri.

Sementara itu, dalam sidang media kemudian, Anthony memberi jaminan bahawa projek naik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) dan Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru akan tetap diteruskan walaupun kerajaan kini berdepan dengan cabaran kewangan tahun hadapan.

Beliau berkata, kaedah pembiayaan akan ditentukan kemudian.

Ditanya mengenai laporan siasatan ke atas gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Anthony berkata, laporan daripada Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) KLIA akan dibentangkan kepada Kabinet awal bulan hadapan.

Pada 21 Ogos lalu, berlaku gangguan sistem di KLIA sehingga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang selama beberapa hari. - Bernama