Bekas Setiausaha Sulit Ahli Parlimen didakwa tipu RM39,450

Saswin Nair mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan penipuan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Tebrau, Saswin Nair V Suresh, 27, mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan penipuan melibatkan jumlah keseluruhan RM39,450 sejak tahun lalu di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

Saswin Nair membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Haffiza Jemali.

Tertuduh yang tiba di mahkamah menutup muka sebaik sahaja melihat pihak media menanti kehadirannya.

Ketika dibawa ke bilik bicara, tertuduh kelihatan sedikit emosi sewaktu gambar dirakam.

"Tak cukup lagi (rakam gambar)?" katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Saswin Nair didakwa melakukan penipuan berhubung pembelian tiga Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), pembelian barangan kemas dan pemberian dua baucar palsu.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Saswin Nair didakwa menerima wang tunai RM9,150, RM7,000, RM5,000 dan RM3,000 daripada tiga mangsa sebagai deposit untuk pembelian tiga unit RMMJ di Taman Daya.

Bagi pertuduhan kelima, lelaki itu didakwa menerima wang deposit RM15,000 daripada seorang lelaki di sebuah kedai emas pada 27 Julai lalu untuk pembelian barangan kemas, namun dikatakan tidak pernah menyerahkan barangan tersebut.

Sementara itu, dua pertuduhan lagi melibatkan pemberian dua baucar kembali ke sekolah palsu bernilai RM150 kepada dua lelaki yang menggunakan nama Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tebrau.

Kesemua kesalahan dilakukan antara November 2018 hingga Julai lalu di beberapa lokasi berbeza di negeri ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew dan Adilah Nur Yahya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM14,000 dengan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 23 Oktober ini untuk pengurusan kes.