Pahang bukan laluan mudah sindiket dadah lolos

Abd Jalil (dua dari kiri) menerima plak sebagai simbolik perasmian Taman Angkat Amanita di Taman Sri Keramat di Maran hari ini.
A
A

MARAN - Pahang bukan laluan mudah bagi sindiket pengedaran dadah untuk memboloskan diri.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan melahirkan keyakinan tersebut hasil ketangkasan anggota dan maklumat yang disalurkan pasukan dan unit narkotik dapat membendung jenayah tersebut.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang juga memberikan kerjasama dengan Unit Narkotik Bukit Aman dan negeri-negeri bersempadan selain mendapatkan maklumat kemasukan daripada pihak kastam.

"Tidak dinafikan kita tidak menolak kemungkinan Pahang dijadikan transit laluan (sindiket) terbabit.

"Namun kita mahu ingatkan kepada mereka-mereka yang berkemungkinan ada niat untuk menggunakan laluan di negeri ini baik di lebuhraya atau Jalan Persekutuan..minta maaf kita akan sentiasa memantau khasnya Jabatan Narkotik Pahang sentiasa memantau dan mendapatkan maklumat yang akan membanteras laluan yang mungkin digunakan," katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis perasmian Taman Angkat Amanita Kontinjen Pahang Iaitu Taman Sri Keramat, Maran di Dataran Kafa di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Mutallib.

Dalam pada itu, Abd Jalil turut menegaskan Perang Jihad Dadah di kawasan-kawasan Felda di negeri itu dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan dilancarkan tidak lama lagi berikutan kawasan tersebut dikatakan sebagai port utama.

"Buat masa ini kita sedang mengumpulkan maklumat-maklumat untuk membanteras port-port yang ada," jelasnya.