Food for Soul kukuhkan keselamatan TNB

Mohd Yusre (kiri) menunjukkan contoh reka bentuk kad Food For Soul yang mengandungi ayat al-Quran pilihan berkaitan keselamatan.
Mohd Yusre (kiri) menunjukkan contoh reka bentuk kad Food For Soul yang mengandungi ayat al-Quran pilihan berkaitan keselamatan.
A
A
A

SUBANG JAYA - Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE), Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil inisiatif untuk mengukuhkan amalan keselamatan berpandukan al-Quran dengan cara menyampaikan walaupun satu ayat melalui Food for Soul.

Pengurus Kanan HSE, Mohd Yusre Mohd Yusoff berkata, Food for Soul (makanan untuk rohani) dalam balang mengandungi 50 ayat-ayat al-Quran pilihan dalam bentuk terjemahan dan peringatan (tazakkur) berkaitan amalan keselamatan untuk diamalkan.

Menurutnya, pemilihan ayat al-Quran tersebut adalah hasil perbincangan jabatan HSE dengan kerjasama Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Fazrul Ismail di Bengkel Penambahbaikan Program TSC & #SpiritualHour 2.0, Hotel Dorsett Grand Subang di sini 17 September lalu.

"Di peringkat awal ini, HSE akan mengedarkan Food for Soul ke seluruh pejabat TNB di Kuala Lumpur dan Selangor. Ia bertujuan untuk membina budaya baca, taddabur dan tazakkur al-Quran walaupun satu ayat.

“Diharapkan anggota kerja TNB dapat memanfaatkan ayat-ayat al-Quran tersebut dengan mengambil tindakan atas peringatan berkaitan amalan keselamatan.

“Pendekatan secara santai ini bertujuan memberi kesedaran kepada anggota kerja TNB terhadap kepentingan keselamatan daripada aspek kerohanian. Ini jelas menunjukkan bahawa keselamatan bukan sahaja diuruskan di peringkat syarikat tetapi juga dituntut oleh agama," katanya.

Katanya lagi, menjaga keselamatan dengan membudayakan nilai al-Quran ini bukan sahaja diamalkan di tempat kerja, malah di rumah mahupun di mana mereka berada. Ini selari dengan slogan TNB, 'Get Home Safe'.

Artikel Berkaitan:

Fazrul memberi penerangan kepada peserta di Bengkel Penambahbaikan Program TSC & #SpiritualHour 2.0, Hotel Dorsett Grand Subang.
Fazrul memberi penerangan kepada peserta di Bengkel Penambahbaikan Program TSC & #SpiritualHour 2.0, Hotel Dorsett Grand Subang.

Jelas Mohd Yusre, sebelum ini, HSE memberi pendedahan kepada pihak pengurusan tertinggi, Kesatuan/Persatuan TNB dan anak syarikat TNB berkaitan keselamatan melalui program #SpiritualHour: Making Safety A Way of Life pada 5 Disember lalu.

"Slogan TNB “Get Home Safe” memperkenalkan Budaya Keselamatan Tenaga (TSC) berdasarkan Surah Yasin ayat 1 hingga 12 untuk menjadikan organisasi yang selamat untuk bekerja.

"TSC menekankan kepada empat tingkah laku utama iaitu Menilai, Patuh, Tegur dan Prihatin untuk mencapai kemalangan sifar di tempat kerja," katanya.

Untuk mengukuhkan TSC dalam budaya kerja, HSE dengan kerjasama Akademi Sinergi Ikhlas telah mengadakan 65 sesi #SpiritualHour yang melibatkan 4,400 kakitangan dari pelbagai jabatan TNB sejak 16 Oktober 2018.

Program tersebut mendapat maklum balas yang baik daripada kalangan peserta.