Gaduh R&R: Enam mengaku salah, pemandu bas mengaku tidak bersalah

Enam lelaki mengaku bersalah dan didenda RM2000 setiap seorang manakala pemandu bas tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Enam lelaki mengaku bersalah dan didenda RM2000 setiap seorang manakala pemandu bas tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Enam lelaki mengaku bersalah dengan mendatangkan kecederaan kepada seorang pemandu bas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang di sini pada 24 Disember lalu.

Enam tertuduh iaitu, Ahmad Mohammad Nor, 44; Muhammad Isamrudin Dollah, 34; Shahrizan Mohd Sham, 36; Hairie Dollah, 40; Ahmad Kamaruddin Mohamad Nor, 41 dan Mohd Hapis Sukri Dollah, 36, dijatuhi hukuman denda RM2,000 selepas mengaku di hadapan Majistret Nurnaim Abdullah terhadap pertuduhan yang disabiktan kepada mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh telah didakwa mendatangkan kecederaan kepada Mohd Saiful Akmal Abdul Rashid, 32, pada jam lebih kurang 1.30 pagi hingga 2 pagi dengan salah seorang daripada mereka bertindak kasar.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, P Perapu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kesemua tertuduh memohon mahkamah mengurangkan denda kerana pendapatan mereka di bawah RM1,500 serta mempunyai tanggungan ibu bapa dan anak-anak.

Mahkamah kemudian menetapkan kesemua tertuduh membayar denda RM2,000.

Dalam prosiding sama, pemandu bas, Mohd Saiful Akmal Abdul Rashid, 32, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada dua individu di R&R Gambang arah Timur.

Artikel Berkaitan:

Menurut kertas pertuduhan, kira-kira jam 1.30 pagi pada 24 Disember lalu, tertuduh dengan sengaja mencederakan Mohd Irwan Shah Azman,17, di bahagian badan dengan cara memukul belakang leher manakala seorang lagi iaitu Shahril Helmi Mohd Redzuan, 17, telah dicekik.

Mohd Saiful Akmal didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh mencapai setahun dan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 ke atas Mohd Saiful dengan seorang penjamin.

Mohd Saiful Akmal kemudiannya memohon kepada mahkamah agar dapat mengurangkan jumlah jaminan disebabkan dirinya hanya bekerja sebagai pemandu bas yang memperoleh pendapatan RM1,000 di samping mempunyai tanggungan tiga anak dengan isteri tidak bekerja.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes tersebut pada 4 Januari depan.