Pelajar perlu lebih akses bahan sastera negara

Siti Zainon - Foto Bernama
Siti Zainon - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelajar perlu diberi peluang untuk mendapat lebih banyak akses kepada bahan sastera dalam usaha membudayakan bahan sastera di kalangan anak muda, demikian harapan penerima Anugerah Sastera Negara ke-14, Dr Siti Zainon Ismail.

Siti Zainon berkata, selama ini pelajar kurang menerima bahan sastera negara yang merupakan satu sumber diperlukan oleh generasi muda yang bakal memimpin.

"Kita perlukan penerus (pewaris) generasi supaya generasi kita yang bakal menjadi pemimpin tahu apa maknanya susastera iaitu sastera yang indah, penuh adab dan penuh akal fikiran.

"Ia untuk bangsa dan negara kita yang hargai. Tradisi seni sastera tidak bererti ia kuno kerana ada sejarah dan ilmu di sebalik setiap sastera yang boleh dikaji masyarakat," katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai perancangannya dalam dunia kesusasteraan.

Antara karya nukilan Siti Zainon adalah Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi (DBP 1986), Percikan Seni (DBP 1989) dan Alam Puisi (DBP 1990), Kasih Bonda dan Kampung Paya Kami terbitan DBP 2008.

Beliau yang merupakan wanita kedua meraih anugerah itu selepas Datuk Dr Zurinah Hassan juga menjelaskan peranan wanita penting dalam memupuk nilai positif yang terkandung dalam sesebuah karya sastera.

"Sememangnya ramai penulis wanita tetapi karya-karya mereka belum dikaji secara penuh (menyeluruh). Peranan kaum ibu umpamanya (dipaparkan) jika membeli karya Zurinah Hassan... boleh menceritakan nilai dan warisan yang terkandung dengan anak-anak.

"Ini ialah warisan...untuk moden, kita teruskan tapi harus diingat, moden tidak akan ada kalau tiada warisan kerana ia hadir di sekitar kita dan kita perlu hargainya," katanya yang juga pernah merangkul beberapa anugerah sepanjang penglibatannya dalam seni sastera.

Artikel Berkaitan:

Dilahirkan pada 18 Disember 1949 di Gombak, Kuala Lumpur, Siti Zainon merupakan alumni Sekolah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan melanjutkan pelajaran di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI) di Yogyakarta, Indonesia pada tahun 1969-1974 sehingga memperoleh Sarjana Muda Seni Lukis.

Sejak tahun 1985, beliau telah menghasilkan 20 buku kajian yang menjadi rujukan budayawan, pengkaji budaya mahupun pelajar di dalam dan luar negara. - Bernama