Aneh Arab Saudi gagal lindung wilayah

Serangan menyasarkan loji minyak utama di Kharais dilaporkan telah menyebabkan kemusnahan teruk.
Serangan menyasarkan loji minyak utama di Kharais dilaporkan telah menyebabkan kemusnahan teruk.
A
A
A

PERISTIWA serangan roket dan dron ke atas dua kompleks petroleum syarikat minyak kebangsaan Arab Saudi, Aramco pada 15 September lalu menyebabkan gegaran di seluruh dunia.

Menurut laporan media antarabangsa, pada awal pagi hari itu, letupan bom menyebabkan kerosakan teruk kepada kompleks memproses minyak Aramco di Abqaiq dan Khurais.

Akibatnya, harga minyak mentah dunia melambung. Harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras pasaran dunia melonjak daripada AS$60.40 setong (kira-kira RM241.60) setong pada 13 September kepada AS$69 (RM276) pada 16 September.

Sekarang ia berada di sekitar AS$63 (RM252). Akibatnya, harga minyak di pam di negara kita pun naik dengan agak banyak.

Sampai saat ini, belum dapat disahkan secara sahih dan bebas dari manakah datangnya peluru berpandu dan dron itu selain tuduh-menuduh dan nafi-menafi.

Seperti biasa, Arab Saudi dan sekutunya Amerika Syarikat, menuding jari ke arah Iran dan pemberontak Houthi Yemen. Kedua-dua buah negara itu bermusuh dengan Iran serta menuduhnya menyokong pemberontak Houthi dan Arab Saudi sasarannya.

Sebelum ini, Arab Saudi membentuk sebuah pakatan tentera dengan negara Arab dan Islam bagi berperang dengan Houthi.Buat beberapa ketika semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), negara kita terlibat dalam pakatan itu. Kita menarik diri apabila BN kalah.

Iran menafikan penglibatannya dalam serangan itu tetapi Houthi dengan bangga mengaku bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Loji minyak Arab Saudi.
Loji minyak Arab Saudi.

Mengikut laporan media massa antarabangsa, kerosakan di kedua-dua buah kompleks itu berjaya diperbaiki dan operasi kembali berjalan seperti biasa. Hasilnya kenaikan harga minyak mentah dunia reda semula.

Apa yang menjadi tanda tanya ialah bagaimanakah kompleks minyak yang sangat penting itu diserang dengan begitu mudah sedangkan sebelum ini Arab Saudi mendakwa berjaya mematahkan serangan roket Houthi?

Apa sudah jadi dengan kelengkapan tentera dan pertahanan yang dibeli dengan harga beratus bilion dolar dari Amerika Syarikat (AS) itu?

Pada 2017, Arab Saudi menandatangani perjanjian membeli dengan serta kelengkapan pertahan bernilai AS$110 bilion (RM440 bilion) dari AS dan AS$350 bilion (RM1.4 trilion) lagi untuk jangka waktu 10 tahun.

Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa Arab Saudi dan Israel adalah dua sekutu utama dan paling penting bagi AS di Asia Barat walaupun Arab Saudi tidak mengiktiraf Israel.

Adalah juga menjadi pengetahuan umum bahawa apa juga senjata yang dijual oleh AS kepada mana-mana juga negara tidak boleh digunakan ke atas Israel.

Kebetulan pula serangan ke atas dua kompleks minyak Saudi itu berlaku di saat-saat Aramco sedang bersiap melakukan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar dalam sejarah dunia.

Ada ramalan mengatakan ia bercadang menjual lima peratus sahamnya dengan nilai AS$100 bilion (RM400 bilion). Tentulah akibat kegagalan menangkis serangan pada 15 September itu keyakinan pelabur terhadap Aramco merosot sekali gus menjejas penilaian ke atas sahamnya.

Adakah itu konspirasi perniagaan licik oleh pihak-pihak tertentu bagi menggagalkan IPO itu atau setidak-tidaknya bagi menjatuhkan nilainya supaya boleh dibeli dengan harga lebih murah?

Ingatan saya kembali kepada sejarah awal Aramco dan kaitannya dengan AS. Rahsianya terletak pada nama Aramco itu sendiri. Ia singkatan kepada Arabia American Oil Company.

Daripada 1933 hingga 1980, ia milik bersama kerajaan Saudi dan Standard Oil of California (Socol). Pada 1980, ia menjadi hak milik penuh Saudi tetapi dengan menjual lima peratus saham Aramco, kerajaan Saudi masih ada kawalan mutlak ke atas syarikat itu dan hasil IPO tidak pun cukup untuk menampung kos belian senjata daripada AS.

Itulah antara kesan buruk dasar AS melaga-lagakan negara Islam dalam usahanya menjamin kelangsungan Israel.

Wallahuaklam.