Nafas agih zakat kepada 225 asnaf

Phahrolrazi bergambar bersama penerima zakat yang hadir pada Program Kasih Peladang Kedah PPK Lubuk Batu di sini semalam.
A
A

JITRA - Seramai 225 orang asnaf menerima sumbangan zakat perniagaan daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM45,000.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, semua penerima berkenaan terdiri daripada ahli peladang dari sembilan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini iaitu Lubuk Batu, Langkawi, Asun, Changlun, Pokok Sena, Kubur Panjang, Naka, Kuala Nerang dan Pendang Selatan.

Menurutnya, pemilihan penerima dilakukan melalui semakan dan kerjasama daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) serta sembilan PPK terbabit.

"Penganjuran program ini adalah bagi menunjukkan komitmen Nafas dalam memastikan setiap keuntungan dari aktiviti perniagaan dikongsi semula bagi manfaat ahli peladang," katanya ketika ditemui pada Program Kasih Peladang Kedah PPK Lubuk Batu di sini hari ini.

Phahrolrazi menyampaikan zakat kepada Indun yang berkerusi roda sambil diperhatikan suaminya, Azmi pada Program Kasih Peladang Kedah PPK Lubuk Batu di sini semalam.
Phahrolrazi menyampaikan zakat kepada Indun yang berkerusi roda sambil diperhatikan suaminya, Azmi pada Program Kasih Peladang Kedah PPK Lubuk Batu di sini semalam.

Phahrolrazi berkata, pada 15 Julai lalu, Nafas telah menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM518,613.24 kepada LZNK.

"Nafas kemudiannya memperolehi pulangan semula 3/8 sumbangan zakat melalui konsep wakalah untuk diagihkan kepada asnaf, fakir miskin dan fisabilillah," katanya.

Beliau berkata, diharap dengan bantuan kewangan yang disampaikan itu dapat membantu meringankan kos perbelanjaan seharian serta memanfaatkan penerima dan ahli keluarga.

"Insya-ALLAH dalam masa terdekat, Nafas akan menjelajah ke selatan Kedah untuk menyempurnakan agihan zakat ini sebelum berakhirnya tahun 2019," katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri, Azmi Samsu, 63, dan isterinya, Indun Ayob, 66, dari PPK Asun melahirkan kesyukuran kerana terpilih untuk menerima zakat berkenaan.

Azmi berkata, wang berkenaan akan digunakan untuk perbelanjaan rumah dan juga lain-lain keperluan untuk mereka berdua.