Aksi teh tarik abang bomba pukau juri, penonton

A
A

SHAH ALAM - Lenggokan badan ala gimnastik merupakan kelebihan seorang anggota bomba dalam mempersembahkan kebolehannya menyajikan teh tarik sekaligus melayakkan dirinya bergelar juara dalam pertandingan Teh Tarik Battle pada program Boss Teh Tarik Satu di Restoran Hakim Seksyen 7 di sini.

Tidak kekok berkongsi tips, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Normuhamad Arwin Mat Janus, 33, berkata, beliau sekadar berlatih di dalam bilik air dengan menggunakan bekas air setiap kali selepas mandi.

"Saya sekadar berlatih dalam bilik air dengan menggunakan bekas air, selalu orang mandi gunakan cebok, tapi saya gunakan bekas air.

"Jadi bila guna bekas air memang saya selalu menarik air seolah-olah menyediakan teh tarik," katanya.

Normuhamad menampilkan aksi luar biasa semasa Teh Tarik Battle pada program Boss Teh Tarik Satu di Restoran Hakim Seksyen 7 di sini.
Normuhamad menampilkan aksi luar biasa semasa Teh Tarik Battle pada program Boss Teh Tarik Satu di Restoran Hakim Seksyen 7 di sini.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas dinobatkan sebagai juara pada Teh Tarik Battle pada program Boss Teh Tarik Satu di Restoran Hakim Seksyen 7 di sini.

Katanya, selain dari itu, beliau juga pernah bekerja sebagai pembancuh air di sebuah kedai makan sebelum bertugas sebagai anggota bomba.

Normuhamad (dua dari kanan) bergelar juara selepas aksinya berjaya memukau para juri sekaligus menewaskan sembilan peserta yang lain dalam pertandingan ini.
Normuhamad (dua dari kanan) bergelar juara selepas aksinya berjaya memukau para juri sekaligus menewaskan sembilan peserta yang lain dalam pertandingan ini.

Menurutnya, secara tidak langsung pengalamannya itu digunakan sebaiknya dalam menyediakan teh tarik.

"Memang kerja sebagai pembancuh air memerlukan kepakaran yang tinggi dalam menyediakan sajian air terutamanya teh tarik.

"Jadi dengan pengalaman yang ada saya gunakan sebaiknya dan Alhamdulillah saya dinobatkan sebagai juara. Bagi saya ini merupakan rezeki saya dan juga keluarga tercinta," katanya.

Normuhamad bergelar juara selepas aksinya berjaya memukau para juri sekaligus menewaskan sembilan peserta yang lain dalam pertandingan ini.

Program Boss Teh Tarik Satu dianjurkan oleh Saji, Seri Pelangi dan Sinar Harian bersama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Restoran Hakim sebagai penaja lokasi.

Terdahulu, sebanyak 40 buah motosikal dan lima buah ‘Kancil Sinar’ menyertai program Konvoi Sinar Harian di sekitar Shah Alam sempena program Boss Teh Tarik Satu yang dianjurkan di Restoran Hakim 2 di Seksyen 7 di sini.

Konvoi yang turut disertai kakitangan Kumpulan Media Karangkraf (KMK) dan kumpulan motosikal Komuniti Marshall Malaysia (MMC) itu berlepas dari bangunan KMK pada jam 5.00 petang sebelum bergerak ke pasar malam di Seksyen 19, Shah Alam.

Peserta kemudiannya menyerahkan bendera Sinar Harian dan risalah program Boss Teh Tarik Satu kepada pengunjung yang berada di pasar malam berkenaan.

Konvoi kemudiannya bergerak ke Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan sekali lagi bendera Sinar Harian dan risalah program diedarkan kepada orang awam di sana.

Selesai di sana, konvoi berehat seketika di sebuah stesen minyak di kawasan berhampiran sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi terakhir iaitu di Restoran Hakim di Seksyen 7, Shah Alam.