ARRC: Azlan Shah unggul di Sepang

Azlan Shah
A
A

PELUMBA pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Azlan Shah Kamaruzaman menepati ramalan untuk menjuarai Perlumbaan 1 kelas ASB1000 pada Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Pelumba berusia 34 tahun itu mencatatkan 23 minit dan 30.254 saat untuk menamatkan perlumbaan 11 pusingan itu bagi menghadiahkan kemenangan kedua buat pasukannya yang turut cemerlang dalam kelas SS600 sebelum itu menerusi kejayaan Md Ramdan Rosli.

Kejayaan itu merupakan kemenangan kedua kepada Azlan di SIC selepas mengungguli Perlumbaan 1 aksi pembuka tirai di gelanggang yang sama pada Mac lalu.

“Sasaran saya adalah untuk memastikan kemenangan menjadi milik kami dan saya telah bekerja keras untuk merealisasikan impian besar ini. Malah, saya juga menanam tekad untuk melakukan penyudah podium memandangkan SIC memang kegemaran saya. katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Ia bukan sesuatu yang mudah kerana perlumbaan tadi agak pantas serta banyak menggunakan kestabilan tayar. Namun, saya berupaya mengatasi segala cabaran sepanjang perlumbaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tempat kedua menjadi milik Thitipong Warokom dari pasukan Kawasaki Thailand Racing Team (23:31.641s) manakala rakan senegaranya, Apiwath Wongthananon dari Yamaha Thailand Racing Team meraih tempat ketiga (23:31.806s).

Pendahulu keseluruhan, Broc Parkes (Yamaha Racing Team ASEAN) sekadar berada di tempat keempat dengan masa 23:37.187s, manakala malang menimpa pelumba negara mewakili Honda Asia Dream Racing with SHOWA, Md Zaqhwan Zaidi yang terkeluar daripada saingan selepas terjatuh pada lap kedua.

Broc kini kekal di tempat teratas kedudukan keseluruhan kelas ASB1000 dengan 201 mata, manakala Azlan mengambil alih tempat kedua daripada Zaqhwan (153) dengan mengumpul 168 mata.

Sementara itu, Md Ramdan mencatatkan 21:55.025s untuk menjuarai Perlumbaan 1 SS600, diikuti oleh pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin (21:55.135s) dan pelumba Thailand, Peerapong Boonlert dari pasukan Yamaha Thailand Racing Team.

Kemenangan pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Md Ramdan Rosli dalam Perlumbaan 1 kelas SS600 pada Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) telah membawa tuah buat pelumba Thailand, Peerapong Boonlert dari pasukan Yamaha Thailand Racing Team (21:58.526).

Keputusan itu menyaksikan Peerapong mengesahkan kejuaraan keseluruhan kelas itu dengan 248 mata, yang tidak mampu digugat oleh mana-mana pelumba dalam baki tiga perlumbaan, termasuk Kasma yang menduduki tempat kedua. - Bernama