Jerebu: Pengurusan sekolah diberi kuasa penuh untuk tangguh sekolah

Ahmad Rafee (kiri) ketika bercakap pada sidang media di UKM hari ini.
Ahmad Rafee (kiri) ketika bercakap pada sidang media di UKM hari ini.
A
A
A

BANGI - Pengurusan sekolah diberikan kuasa penuh untuk membuat keputusan menutup sekolah masing-masing sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) akibat jerebu mencecah 200 dan ke atas.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Ahmad Rafee Che Kassim berkata, perkara itu terkandung dalam prosedur operasi standard (SOP) penutupan sekolah akibat bencana itu yang ditetapkan KPM.

"Merujuk kepada surat siaran KPM bilangan 1 2019 yang bertarikh 15 Januari, tindakan SOP ini merupakan salah satu bentuk autonomi yang diberikan kepada sekolah dalam melaksanakan keputusan mereka mengikut lokaliti masing-masing.

"Sekolah perlu membuat pemantauan dapatan IPU di laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta mendapatkan pengesahan daripada Jawatankuasa Bencana Daerah apabila bacaan IPU menjadi sangat tidak sihat iaitu mencecah 200 dan ke atas.

"Maka apabila telah dipastikan, sekolah boleh menutup institusi masing-masing dengan mematuhi tata cara yang telah ditetapkan tanpa perlu menunggu pengesahan daripada pihak kementerian," katanya pada sidang media khas berkaitan jerebu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Sidang media khas itu dibuat bagi memberikan penerangan kepada masyarakat berkaitan SOP yang dikeluarkan KPM akibat jerebu susulan timbul kekeliruan berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Rafee berkata, keputusan penutupan sekolah hari berikutnya akan dibuat selepas melihat kepada data terakhir yang dikemaskini JAS pada jam 5 petang.

"Setiap jam 5 petang, pihak sekolah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan pantau bacaan dan akan maklumkan melalui sesawang APIMS atau JAS. Jadi apabila bacaan sudah mencecah 200 mereka sudah boleh umumkan penutupan sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Namun begitu kadang-kadang bacaan pada jam 5 petang masih baik seperti kes di Putrajaya minggu lepas, tetapi pada waktu malam ia tiba-tiba naik mendadak.

"Maka sekolah atas lokaliti masing- masing boleh buat pengumuman (penutupan sekolah) kerana telah menjadi keutamaan KPM untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar, guru dan kakitangan dijaga," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama beliau turut memaklumkan semua sekolah yang ditutup akibat jerebu tidak perlu diganti.

"Oleh kerana ini ialah bencana maka penutupan sekolah ini tidak perlu diganti," katanya.