Remaja perempuan nyaris jadi mangsa culik

No Image Caption
A
A
A

KANGAR - Seorang remaja perempuan hampir menjadi mangsa culik sekumpulan lelaki di kawasan rumahnya di Kampung Tok Kandang, Kangar, di sini hari ini.

Ketua Polis Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa yang berusia 15 tahun itu berseorangan di sekitar kawasan rumahnya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya didatangi dua lelaki dengan menaiki Perodua Viva berwarna hitam yang bertindak meluru ke arah mangsa sebaik keluar dari kereta berkenaan.

"Suspek turut menunjukkan isyarat pelik dengan tangannya kepada mangsa yang menyebabkan mangsa ketakutan," katanya dalam suatu kenyataan di sini hari ini.

Wari Kiew berkata, mangsa kemudiannya bertindak melarikan diri ke kawasan pagar halaman rumah jirannya untuk meminta pertolongan sebelum kereta berkenaan berlalu pergi.

"Remaja berkenaan yang bimbang akan keselamatan dirinya bertindak membuat laporan polis mengenai kejadian yang menimpanya," katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan yang dibuat polis berjaya menahan tiga lelaki berusia 24 hingga 58 tahun pada tengah hari tadi bagi membantu siasatan.

"Tangkapan terhadap suspek dilakukan di Simpang Empat ketika mereka berada di dalam kereta terbabit dan akan direman pada esok hari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, berdasarkan pemeriksaan air kencing kesemua suspek bebas daripada pengaruh dadah, namun dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan atas cubaan melakukan penculikan," katanya.