Pembenihan awan bantu kurangkan jerebu di Sri Aman

Operasi penerbangan di lapangan Terbangan Antarabangsa Kuching berjalan seperti biasa walaupun jerebu di tahap sangat tidak sihat Indek Percemaran Udara (IPU) 249 pada jam 8.30pagi hari ini. -Foto- BERNAMA
Operasi penerbangan di lapangan Terbangan Antarabangsa Kuching berjalan seperti biasa walaupun jerebu di tahap sangat tidak sihat Indek Percemaran Udara (IPU) 249 pada jam 8.30pagi hari ini. -Foto- BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Operasi pembenihan awan di Sri Aman, Sarawak semalam berjaya menurunkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu daripada tahap bahaya lebih 400 semalam kepada tahap tidak sihat 125 pada jam 10 pagi tadi.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini berkata, kebakaran hutan belukar di Kampung STC Sri Aman, Jalan Tisak Betong dan Jalan Ketajau yang menyebabkan jerebu teruk di kawasan itu juga sedang dalam tindakan pemadaman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dalam pada itu, JAS berkata, secara keseluruhannya kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia, bahagian Barat Sarawak dan sekitar kawasan Tawau dan Sandakan, Sabah.

Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam katanya, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, menunjukkan terdapat peningkatan titik panas (hotspot) di Sumatera iaitu sebanyak 676.

"Manakala titik panas di Kalimantan, Indonesia berkurangan kepada 332, dan 20 titik panas dikesan di dalam negara iaitu di Semenanjung Malaysia (9), Sarawak (7) dan Sabah (4)," katanya.

Menurut JAS, Peta Jerebu Serantau dikeluarkan ASMC semalam pula menunjukkan kluster titik panas di Sumatera Tengah, Sumatera Selatan, Riau dan Jambi berterusan melepaskan asap jerebu sederhana hingga tebal.

"Asap jerebu dari Sumatera memberi kesan kepada hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia. Di Kalimantan, kluster titik panas di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan berterusan melepaskan asap jerebu di mana memberi kesan jerebu di Sarawak," jelasnya.

Setakat jam5.00 petang tadi, sebanyak 18 stesen di seluruh negara mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat dengan empat daripadanya di Sarawak iaitu Kuching (159), Samarahan (139), Sarikei (113) dan Sri Aman (107).

Artikel Berkaitan:

Di Selangor stesen terbabit ialah Johan Setia, Klang (152), Petaling Jaya (145), Shah Alam (128), Banting (115) dan Klang (113); manakala Kuala Lumpur melibatkan stesen Batu Muda serta Cheras masing-masing merekodkan bacaan 158 dan 150; dan Putrajaya 138.

Kawasan lain yang turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Nilai (138) dan Seremban (127) di Negeri Sembilan; Segamat (131) dan Tangkak (102) di Johor; serta Jerantut (114) dan Temerloh (102) di Pahang.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.- Bernama