Jerebu bakal pulih, ribut petir pula menyusul

MetMalaysia meramalkan ribut petir bakal melanda negara selepas jerebu berakhir dijangka minggu depan.
MetMalaysia meramalkan ribut petir bakal melanda negara selepas jerebu berakhir dijangka minggu depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan akan berlaku ribut petir sehingga awal November ini sebaik keadaan jerebu dalam negara pulih.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan MetMalaysia hari ini, fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 24 September ini dan akan berterusan sehingga awal November nanti.

Permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula pada 6 Mei lalu.

"Dalam tempoh itu, kawasan serantau negara akan menerima tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah dan berpotensi untuk pembentukan awan ribut petir.

"Semasa fasa peralihan monsun, keadaan cuaca yang lazim berlaku adalah ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa singkat terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah, kawasan barat dan tengah wilayah Sarawak," katanya.

Kenyataan sama menyebut, keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh.

"Cuaca berjerebu yang melanda rantau negara dijangka bertambah baik.

"Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh tersebut dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, setakat jam 5 petang tadi, mendapati 18 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu di bawah 200, sementara 49 kawasan lagi dilaporkan menunjukkan bacaan sederhana.

Di Sarawak sebanyak empat kawasan dikenalpasti menunjukkan bacaan tidak sihat iaitu di Kuching dengan bacaan IPU 159, Samarahan (139), Sarikei (113) dan Sri Aman (107).

Sementara itu, lima kawasan di Selangor yang turut mencatatkan IPU tidak sihat adalah di Johan Setia dengan bacaan 152, Petaling Jaya (145), Shah Alam (128), Banting (115) dan Klang (113).

Bacaan IPU di tiga lokasi di Kuala Lumpur dan masing-masing dua kawasan di Negeri Sembilan, Pahang dan Johor juga mencatatkan bacaan tidak sihat bawah 200.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 di kategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).