Campur tangan baharu AS di Asia Barat

Pasukan tentera tersebut akan memberi tumpuan utama terhadap pertahanan misil dan udara.
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan campur tangan baharu negara itu di Asia Barat dengan menjadikan insiden serangan ke atas kemudahan minyak Arab Saudi sebagai alasan utama untuk mengerahkan pasukan tentera tambahan ke rantau Teluk.

Presiden Donald Trump yang sebelum ia mendakwa ia siap siaga untuk bertindak ke atas Iran yang dituduh mendalangi serangan tersebut bagaimanapun memaklumkan ia tidak merancang tindakan ketenteraan ke atas Teheran.

Sebaliknya, Washington sekali lagi menyasarkan ekonomi negara itu dengan memperbaharui sekatan lebih ketat terhadap Bank Pusat Iran.

Ketua Pentagon berkata, AS akan menghantar pasukan tentera ke Teluk atas permintaan Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Sebagai respons terhadap pemintaan Riyadh, Trump telah meluluskan pengerahan pasukan tentera AS yang akan memberi tumpuan utama terhadap pertahanan misil dan udara," kata Setiausaha Pertahanan, Mark Esper.

Tetapi, Ketua Turus Bersama, Joe Dunford menyifatkan ia sebagai langkah 'sederhana' dengan jumlah tentera dijangka tidak mencecah ribuan orang.

Pada Jun lalu, Trump memberi kuasa kepada tentera untuk melancarkan serangan selepas Iran menembak jatuh dron perisik AS, namun menarik balik arahan itu pada saat akhir.

Dalam perkembangan lain, Saudi mendedahkan kerosakan meluas di loji minyak milik Aramco di Khurais dan kemudahan pemprosesan minyak terbesar di dunia di Abqaiq.

Sebelum ini, kumpulan pemberontak Houthi di Yemen mengaku mendalangi serangan yang menjejaskan separuh daripada pengeluaran minyak Saudi itu walaupun AS menuding jari menyalahkan Iran.

Menurut Aramco, Abqaiq dibedil sebanyak 18 kali manakala kemudahan empat bedilan mengenai Khurais yang turut mencetuskan beberapa letupan dan kebakaran besar yang mengambil masa selama beberapa jam untuk dikawal. - AFP