SPRM sokong guna kamera badan, bantu siasatan lebih adil

 Latheefa Koya
Latheefa Koya
A
A
A

MELAKA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan penggunaan kamera badan dan kamera papan pemuka oleh pihak berkuasa di negara ini kerana cara itu dilihat lebih telus dan adil bagi bagi kedua-dua belah pihak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, penggunaan kamera tersebut oleh pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam yang disyorkan oleh badan tersebut adalah bagi menangani kes salah guna kuasa termasuk kesalahan rasuah di negara ini.

Latheefa berkata, penggunaan kamera badan itu tiada kaitan dengan hak asasi kerana apabila bercakap tentang ketelusan ianya melibatkan hak asasi semua orang.

“Tiasa isu privasi atau hak asasi, anggota penguat kuasa perlu memastikan bahawa kamera badan berfungsi ketika bertugas.

"Tindakan diambil sekiranya ianya tidak berfungsi seperti tindakan tatatertib,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KoMawaR) Zon Selatan yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.

Latheefa berkata, ketelusan perlu ada dalam penggunaan kamera badan kerana sekiranya tidak berfungsi ianya boleh menimbulkan kesangsian.

Katanya, kamera badan juga boleh menjadi perlindungan bukan hanya kepada orang awam tetapi juga kepada anggota penguatkuasa yang bertugas jika terdapat tohmahan ataupun fitnah.

“Apa-apa yang berlaku kita akan dapat dengar dua orang bercakap, dua versi iaitu satu versi daripada anggota penguatkuasa dan satu lagi dari orang yang mendakwa menjadi mangsa kepada salah guna kuasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini, kes penjualan kad pengenalan kepada warga asing dikendalikan oleh pihak polis kerana ianya melibatkan isu keselamatan negara.

“SPRM akan bersedia sekiranya pihak polis selesai membuat siasatan atau perlu bantuan tambahan, Kami akan membantu, namun buat masa ini ianya dilihat sebagai isu keselamatan negara dan biarlah pihak polis membuat siasatan,” katanya

Beliau berkata, walaupun belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung isu tersebut, pihak SPRM tidak akan berdiam diri dan hanya menunggu sebaliknya akan mengikuti perkembangan semasa, namun siasatan dijalankan oleh pihak polis buat masa ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Guna kamera badan pada pegawai elak salah laku: Tun M