X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan digesa mansuh Seksyen 309 Kanun Keseksaan: PPM

Mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, individu yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.
A
A

SEREMBAN - Kerajaan digesa supaya memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman terhadap individu yang cuba membunuh diri.

Timbalan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (PPM), Prof Madya Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari berkata, ini kerana perbuatan tersebut tidak boleh disifatkan sebagai kesalahan jenayah, sebaliknya merupakan faktor kesihatan mental.

“Ia (cubaan membunuh diri) kebiasaannya didorong oleh tekanan sehingga menyebabkan seseorang itu menghadapi kemurungan melampau.

"Mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, individu yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

"Hukuman sebegini sebenarnya akan menambahkan lagi tekanan kepada individu yang cuba membunuh diri. Justeru cara ini tidak akan menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2019 Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Program tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang, Mary Josephine Pritam Singh.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, Datin Dr Harlina Abd Rashid.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Muhsin berkata, individu berkenaan perlu diberikan rawatan sewajarnya dan menjalani proses pemulihan psikiatri.

Mengenai jumlah kes cubaan bunuh diri di negara ini setakat ini, beliau bagaimanapun memberitahu bahawa pihaknya tiada maklumat terperinci mengenainya.

“Tetapi daripada laporan Malaysia kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan secara puratanya lima kematian disebabkan bunuh diri dalam 100,000 penduduk,” katanya.

Sementara itu, Mary Josephine dalam ucapannya berkata, berdasarkan laporan Persatuan Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2019, kematian akibat bunuh diri melibatkan 800,000 nyawa setiap tahun iaitu bersamaan satu kematian setiap 40 saat dan kematian disebabkan bunuh diri merangkumi 1.4 peratus kematian di seluruh dunia.

“Keinginan membunuh diri adalah salah satu gejala tekanan mental. Menurut kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015, setiap tiga daripada 10 orang dewasa di Malaysia berusia 16 tahun ke atas mempunyai masalah kesihatan mental,” katanya.

Justeru itu, satu langkah pencegahan bunuh diri yang berkesan perlulah diadakan bagi membendung perkara berkenaan, katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!