Tiada majikan dikesan pilih pekerja berorientasikan kaum

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PENDANG - Kementerian Sumber Manusia tidak mengesan mana-mana majikan di negara ini yang memilih serta membuat pengambilan pekerja berorientasikan satu kaum sehingga mengetepikan hak kaum lain.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, maklumat yang diperoleh daripada Jabatan Tenaga Kerja dan Jobstreet Malaysia mendapati belum ada sebarang aduan berhubung perkara itu dan jikalau ada ia hanya kes terpencil dan melibatkan sentimen individu.

“Kalau ada pun bagi saya ia kes terpencil yang tak sepatutnya menjadi isu...mungkin boleh jadi ada sentimen individu di situ dan bukannya daripada syarikat berkenaan.

“Pada hakikatnya tak ada majikan mengambil pekerja mereka berorientasikan satu kaum dan elemen seperti ini tak sepatutnya berlaku dan dibangkitkan masyarakat,” katanya kepada pemberita pada Program Sepakat Malaysiaku Harapanku di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan segelintir pihak dalam laman sosial terutama Facebook yang mendakwa kebanyakan majikan di negara ini mengambil pekerja berdasarkan kaum.

Mengulas tentang program itu pula, Anggota Parlimen Pokok Sena itu berkata, menerusi program berkenaan sebanyak 21 syarikat swasta menawarkan 1,200 peluang pekerjaan untuk diisi oleh pencari kerja. - Bernama

Artikel Berkaitan: