Bekalan petrol, diesel di Pulau Pinang mencukupi

Mohd Ridzuan (tiga, kiri) melihat pemeriksaan bekalan petrol dan diesel oleh kakitangan sebuah stesen minyak, hari ini.
Mohd Ridzuan (tiga, kiri) melihat pemeriksaan bekalan petrol dan diesel oleh kakitangan sebuah stesen minyak, hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengesahkan bekalan petrol dan diesel di negeri ini mencukupi.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, dakwaan mengatakan bekalan kedua-dua bahan api itu berkurangan di seluruh negara tidak benar.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya telah memeriksa 102 daripada 202 buah stesen minyak seluruh negeri ini.

"Bermula 27 Disember lalu, kita telah melakukan pemeriksaan di beberapa stesen minyak di negeri ini. Setakat ini, semua stesen minyak yang diperiksa tidak mengalami kekurangan bekalan petrol dan diesel seperti yang didakwa sebelum ini.

"Saya jamin, setakat ini di Pulau Pinang, bekalan petrol dan diesel mencukupi. Selain itu, kita juga telah menghantar notis peringatan kepada kesemua pengusaha stesen untuk memastikan bekalan mencukupi. Operasi pemeriksaan akan diteruskan sehingga 6 Januari ini," katanya.

Terdahulu, Mohd Ridzuan dan pegawainya melakukan pemeriksaan bekalan petrol dan diesel di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.

Tambahnya, kesemua pemegang lesen runcit petrol dan diesel tidak dibenarkan menutup operasi stesen minyak atau memberhentikan penjualan tanpa kebenaran.

"Pemegang lesen juga bertanggungjawab untuk memastikan bekalan bahan api di premis yang dilesenkan sentiasa ada dan cukup untuk jualan harian.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya gagal mematuhi kedua-dua syarat tersebut, untuk kesalahan pertama, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kedua, boleh didenda RM3 juta dan penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.