Perhilitan pindah keluar gajah liar Kampung Keruak

Gajah liar jantan (tengah) seberat 2.5 tan berjaya dijinakkan dengan bantuan dua ekor gajah denak betina Suria (kiri) dan Abot (kanan) untuk dipindah ke kawasan Taman Negara Kebangsaan di Pahang hari ini.- FOTO: BERNAMA
Gajah liar jantan (tengah) seberat 2.5 tan berjaya dijinakkan dengan bantuan dua ekor gajah denak betina Suria (kiri) dan Abot (kanan) untuk dipindah ke kawasan Taman Negara Kebangsaan di Pahang hari ini.- FOTO: BERNAMA
A
A
A
JERTIH - Seekor gajah jantan liar seberat 2.5 tan yang berkeliaran di kawasan kebun dan ladang di Kampung Keruak, Hulu Besut di sini berjaya dipindahkan dari kampung itu dalam operasi oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin merangkap ketua operasi itu berkata, haiwan berusia 20 tahun yang berjaya ditangkap pada jam 3 petang Selasa lalu itu akan dibawa ke hutan Taman Negara bersempadan Terengganu dan Kelantan petang ini.

“Semasa proses memindahkan gajah itu pihak Perhilitan menggunakan khidmat dua ekor gajah denak betina yang bernama Abot dari PKGK Kuala Gandah, Temerloh, Pahang, dan Suria dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu.

"Abot dan Suria berperanan mengiringi serta mengawal gajah liar itu untuk dibawa naik ke atas lori sebelum dibawa keluar daripada Kampung Keruak,” katanya kepada pemberita di Kampung Keruak di sini hari ini.

Operasi yang melibatkan 30 anggota Perhilitan itu bermula pada 9.30 pagi dan berakhir kira-kira 12 tengah hari.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung pada 3 September lalu yang mendakwa kemunculan gajah liar di kebun dan ladang di situ telah menimbulkan ketakutan kepada penduduk untuk menjalankan kerja harian mereka.

“Walaupun kami telah menghalau gajah itu sebelum ini, ia tidak lari ke hutan dan sebab itu pihak Perhilitan kemudiannya mengambil tindakan menangkap haiwan berkenaan,” katanya.- Bernama