Tambah anggota Komando VAT 69, UTK

Acryl Sani melepaskan Konvoi 4x4 Di Sini Kami Bermula anjuran Persatuan Veteran VAT 69 Komando di Markas Komando 69, Kem Briged Utara Ulu Kinta di sini hari ini.
Acryl Sani melepaskan Konvoi 4x4 Di Sini Kami Bermula anjuran Persatuan Veteran VAT 69 Komando di Markas Komando 69, Kem Briged Utara Ulu Kinta di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Pasukan Komando VAT 69 dan Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan tambahan anggota bagi memastikan kawalan keselamatan dalam negara lebih mantap dan berkesan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya kini sedang berusaha mempertingkatkan jumlah anggota bagi kedua-dua pasukan itu malah kertas kerja mengenainya dalam proses dihantar ke agensi pusat untuk dipertimbangkan.

Menurutnya, sehingga kini pasukan Komando VAT 69 mempunyai 600 orang terdiri daripada pegawai dan anggota manakala pasukan UTK mempunyai lebih 400 anggota.

"Jumlah pegawai dan anggota Komando VAT 69 sekarang seramai 600 orang, jadi kita sedang berusaha tingkatkan bilangan mereka kepada hampir 1,000 anggota. Ini mustahak kerana penugasan mereka semakin diperlukan di mana kita masih menghadapi ancaman khususnya di pantai timur Sabah dan kita sentiasa menempatkan Komando VAT 69, kita bergilir dengan UTK.

"Apabila kerajaan meluluskan perjawatan tambahan iaitu UTK daripada lebih 400 kepada lebih 800 anggota, kita dapat membuat penukaran tugasan di kawasan pantai timur Sabah dengan lebih berkesan dan mantap," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelepasan Konvoi 4x4 Di Sini Kami Bermula anjuran Persatuan Veteran VAT 69 Komando di Markas Komando 69, Kem Briged Utara Ulu Kinta, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT 69 Komando, Datuk Abd Rashid Harun.

Balu anggota bergambar bersama Acryl Sani selepas menerima sumbangan asnaf hari ini.
Balu anggota bergambar bersama Acryl Sani selepas menerima sumbangan asnaf hari ini.

Acryl Sani berkata, penambahan tersebut perlu dilaksanakan bagi memastikan ketenteraman awam dalam negara dapat dikawal dengan lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

"PDRM sedar, dasar kerajaan sekarang yang sedang berusaha mengecilkan penjawat awam tetapi dalam isu keselamatan ini, kita berharap kerajaan dapat memberikan pertimbangan khas kerana isu keselamatan tak boleh dikompromi.

"Pasukan ini bukan sahaja dilatih bertugas di pantai timur Sabah bahkan menangani keganasan dalam bandar dan kita perlu bersiap sedia," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata. Kem Pasukan Komando VAT 69 yang sedang dalam pembinaan dijangka siap dalam masa dua tahun lagi.

Katanya, sehingga kini kemajuan pembinaan sudah 20 peratus dan setelah siap kelak, pasukan tersebut tidak lagi menumpang kemudahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kem Briged Utara di sini.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada 22 balu anggota Komando VAT 69 Komando.