60 peratus kebakaran ladang, hutan di Sri Aman berjaya dipadam

 Operasi pemadaman telah memasuki hari keenam hari ini dan sejak 19 September lalu, ia dijalankan 24 jam.
Operasi pemadaman telah memasuki hari keenam hari ini dan sejak 19 September lalu, ia dijalankan 24 jam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 60 peratus daripada 81 hektar ladang dan hutan di kawasan Sri Aman, Sarawak yang terbakar telah dipadam setakat semalam, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi sedang bekerja keras memadamkan baki 32 hektar lagi kawasan yang terbakar.

Menurutnya, operasi pemadaman telah memasuki hari keenam hari ini dan sejak 19 September lalu, ia dijalankan 24 jam.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan terus menyelaras tindakan-tindakan menghilangkan jerebu di negeri-negeri yang terkesan.

"Operasi pembenihan awan telah dilaksanakan di barat Sarawak oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia pada 20 September. Operasi ini telah berjaya menghasilkan hujan di bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Saratok dan Sarikei," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengedarkan 1,200 topeng muka N95 sumbangan Pusat Khidmat Pandan kepada orang ramai di Kompleks Muhibah Taman Nirwana di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, operasi sama telah dibuat sebanyak dua kali iaitu pada 12 dan 19 September dan akan dilaksanakan lagi di negeri-negeri mengalami jerebu di Semenanjung bergantung kepada keadaan atmosfera.

Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan berkata, kebakaran itu adalah faktor yang mempengaruhi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman meningkat lebih 300 iaitu dalam kategori berbahaya, selain jerebu merentas sempadan.

Artikel Berkaitan:

Menurut JAS, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan sekitar kawasan Tawau dan Sandakan, Sabah.

Dr Wan Azizah turut menasihatkan rakyat khususnya di kawasan yang mengalami bacaan IPU di tahap sangat tidak sihat dan tidak sihat supaya mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah kerana ia boleh menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.

"Banyakkan minum air bagi mengekalkan tahap hidrasi badan, gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) apabila melakukan aktiviti luar rumah serta jangan membuat pembakaran terbuka," katanya.

Sementara itu, berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 12 tengah hari ini, bacaan IPU di Sri Aman mencatatkan 117 iaitu kategori kualiti udara tidak sihat serta empat lagi kawasan di Sarawak turut berada dalam kategori sama iaitu di Kuching (166), Samarahan (140), Sarikei (120) dan Sibu (113).

Sebanyak empat kawasan di Selangor merekodkan bacaan IPU lebih daripada 101 adalah Johan Setia Klang (153), Petaling Jaya (141), Shah Alam (123) dan Banting (119) serta dua kawasan di Negeri Sembilan iaitu di Nilai (142) dan Seremban (124).

Turut mengalami kualiti udara tidak sihat ialah Batu Muda (144) dan Cheras (151) di Kuala Lumpur, manakala Putrajaya dan Segamat, Johor, masing-masing mencatatkan bacaan IPU 146 dan 129.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com. - Bernama